MIRI : Pusat Khidmat Masyarakat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Senadin menyerahkan barangan perubatan bernilai RM18,000 kepada Pusat Penilaian Covid-19 Bahagian Miri dan Hospital Miri semalam.
Kenyataan media, sumbangan ini antaranya 10 set Handheld Pulse Oximeter with SpO2 Probe for Adult, Paediatric & Neonates.
“Handheld Pulse Oximeter ialah alat pengukur paras oksigen dalam darah dan alat ini biasanya digunakan untuk memantau keadaan pesakit yang mempunyai masalah kesihatan yang boleh mempengaruhi tahap oksigen dalam darah seperti penyakit COVID-19, Penyakit Obstruktif Paru-Paru Kronik (COPD), penyakit Asma, Pneumonia, kanser paru-paru, Anemia, sakit jantung, kecacatan jantung kongenital dan lain-lain.
“Bagi kanak-kanak dan bayi, Handheld Pulse Oximeter juga lebih sesuai digunakan berbanding dengan oksimeter nadi jari,” jelasnya.
Peralatan perubatan ini telah disampaikan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato’ Sri Lee Kim Shin kepada Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P.Raviwharmman Packierisamy dan disaksikan Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong Siew Yu di Perkarangan Bangunan Kompleks Islam Miri semalam.
Sehubungan itu, Lee Kim Shin mengucapkan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan, agensi perubatan dan komuniti Miri pada keseluruhannya yang berusaha bersungguh dalam kerja membenteras pendamik Covid-19.
Selain turut merakamkan jutaan terima kasih kepada masyarakat yang telah menderma dan menyumbang kepada Jawatankuasa Eksekutif SUPP Senadin dalam menjayakan program kutipan dana pandemik ini.
Turut hadir, Pemangku Timbalan Residen Miri Rose Edward dan pemangku Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof.
Oleh ADUM LIU