
MIRI: Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) hari ini menyuarakan sokongan penuh serta mengalu-alukan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memperkenalkan langkah bantuan bersasar bagi mengurangkan impak ketegangan di Asia Barat terhadap ekonomi tempatan.
Setiausaha Agung SUPP, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dilihat proaktif dalam mengkaji inisiatif bantuan baharu.
Beliau berkata, kepimpinan Premier yang berpandangan jauh dalam mengurus ekonomi mampu memastikan Sarawak kekal berdaya tahan berdepan tekanan luar, termasuk kenaikan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi global.
“Langkah yang sedang dikaji ini dijangka dapat memberi kelegaan penting kepada usahawan tempatan dan rakyat secara keseluruhan dalam tempoh mencabar ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebastian turut menekankan rekod cemerlang kerajaan negeri dalam melaksanakan dasar kebajikan berorientasikan rakyat, termasuk inisiatif seperti Kenyalang Gold Card dan Skim Manfaat Kesihatan Warga Emas Sarawak.
“Kami berdiri teguh menyokong usaha Premier untuk mengkaji bantuan yang sesuai kepada usahawan dan masyarakat.
“Kerajaan Sarawak mempunyai rekod terbukti dalam mengutamakan kebajikan rakyat,” ujarnya.
Beliau berharap pelaksanaan langkah bantuan tersebut dapat disegerakan bagi menstabilkan ekonomi serta memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara dalam suasana ketidaktentuan antarabangsa.
Oleh Liong Chai Ling