- Kerjasama PSB, PDP
PADA 15 Julai 2019, selepas berkhidmat dalam Kabinet Kerajaan Negeri selama 23 tahun, Dato Sri Wong Soon Koh akhirnya meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-dagang.
Keputusan peletakan jawatan itu dibuat selepas mengambil kira parti yang diterajuinya, Parti Sarawak Bersatu (PSB) tidak lagi mendapat sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Sebelum itu, Soon Koh menerima tekanan daripada komponen GPS terutama Parti Rakyat Sarawak (PRS) kerana tindakan PSB menerima pemimpin kanan PRS yang keluar parti, termasuk bekas Timbalan Presidennya, Datuk Joseph Entulu Belaun dan dua bekas Naib Presiden PRS, Datuk Masir Kujat dan Datuk William Nyallau Badak.
Tekanan demi tekanan diterima PSB, termasuk tiada seorang pun wakil daripada parti itu dilantik menjadi kaunselor dalam agensi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Selain itu, berbanding wakil rakyat GPS, wakil rakyat PSB tidak menerima peruntukan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP), membabitkan RM7 juta setahun.
Akhirnya, PSB menjadi parti pembangkang sehingga kini.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Disember 2021, PSB bertanding 70 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi cuma menang empat kerusi menerusi Soon Koh (Bawang Assan), Baru Bian (Ba’Kelalan), Johnichal Rayong Ngipa (Engkilili) dan See Chow How (Batu Lintang).
Bagaimanapun, Chow How keluar PSB Ogos tahun lalu dan kini sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas.
Namun, jika diperhalusi setiap DUN ditandingi, amat jelas PSB adalah satu-satunya parti pembangkang yang memberi saingan kepada GPS terutama di 46 kawasan apabila calonnya meraih lebih 1,000 undi atau lebih 2,000 undi sama ada di kawasan majoriti Cina, Melayu, Iban dan Bidayuh.
Tentangan hebat PSB berlaku di DUN Simanggang, Balai Ringin, Meluan, Ngemah, Tamin dan Batu Danau.
Itu kisah lebih setahun lalu.
Baru-baru ini, PSB membuat kenyataan menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan GPS pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
PSB sebelum ini dikenali sebagai Parti Rakyat Bersatu (UPP), ditubuhkan pada 2014 selepas berlaku pergelutan kuasa antara kepemimpinan tertinggi dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Di Kuala Lumpur Khamis lalu, PSB dan Parti Demokratik Progresif (PDP) iaitu salah satu parti dalam gabungan GPS, menjalin kerjasama.
Presiden PDP Dato Sri Tiong King Sing tidak menolak kemungkinan kedua-dua parti itu bergabung.
Bagaimanapun, mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam Sabtu lalu tidak membuat sebarang komitmen terhadap kerjasama PSB dan PDP itu.
Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, biarkan dua parti itu bekerjasama jika niat PSB baik.
PERPADUAN LEBIH KUKUH
“Bagi saya sekiranya mereka (PSB) mempunyai niat yang baik, biarkan mereka mempunyai kerjasama ini, namun PSB bukan (sebahagian) daripada GPS. Sekiranya mereka ingin membantu, kenapa kita nak halang? Apa yang penting adalah Sarawak dikenali dengan perpaduan yang kukuh,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.
Berdasarkan sejarah lalu seperti dihuraikan di atas, keadaan agak sukar untuk PSB menggangotai GPS kecuali mendapat sokongan semua empat parti komponen.
Difahamkan, setakat ini PRS dan SUPP menerima dingin kerjasama itu, kerana sejarah lalu.
Cara terbaik ialah bergabung dengan PDP dan difahamkan, rundingan sedang berjalan ke arah itu.
Keadaan ini juga dikatakan meresahkan PRS dan SUPP kerana akan timbul masalah pengagihan kerusi pada PRN nanti.
Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor (Prof) Madya Stanley Bye Kadam Kiai berkata, perkembangan ini amat menarik dalam sejarah politik Sarawak.
“Tidak pernah sebelum ini parti pembangkang bekerjasama dengan salah sebuah parti dalam kerajaan. Tidak dinafikan sasaran utama PSB dan PDP adalah masyarakat Iban dan Cina.
“Berdasarkan keputusan PRN Negeri (Disember 2021) dan PRU15 (November 2022), sokongan pengundi Iban dan Cina kepada GPS sudah kuat. Ini bermakna kerjasama PSB dan PDP akan memperkukuhkan lagi sokongan daripada dua komuniti itu kepada GPS,” katanya.
Perkara ini turut dipersetujui Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Univerisiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Novel Lyndon.
“Hubungan ini akan mengukuhkan kuasa politik GPS sebagai sebuah kerajaan kerana mereka mendapat tambahan tiga kerusi DUN PSB, menjadikan 79 daripada jumlah 82 kerusi DUN.
“Namun, isu yang berlegar sekarang adakah MoU antara PSB dan PDP ini mendapat lampu hijau daripada Pengerusi GPS (Abang Johari) dan apakah implikasinya kepada SUPP disebabkan PSB adalah parti serpihan SUPP?,” katanya.
Novel berkata, terdapat isu lain yang timbul iaitu jika PDP boleh membuat MoU dgn parti serpihan PSB daripada SUPP, maka bolehkah SUPP membuat Memorandum Persefahaman (MoU) dengan PRS di mana PDP merupakan parti serpihannya?
“Dari satu segi pula hubungan persefahaman (MoU) ini sedikit sebanyak memberi implikasi politik kepada SUPP kerana PSB dianggap sebagai parti pecahan SUPP akibat perbalahan antara pemimpin parti sebelum ini,” katanya.
KUASA TAWAR MENAWAR
Mungkinkah PSB dan PDP jika bergabung mahu menjadi parti dominan dalam GPS, terutama menyaingi PRS dan SUPP?
Stanley Bye berpendapat, mungkin PSB dan PDP mahu menjadi parti yang ada kuasa tawar menawar dalam GPS apabila bergabung menjadi satu entiti.
“Persoalannya, apakah dengan kuasa tawar menawar ini menuju ke arah politik semak dan imbang (check and balance) di negeri ini?
“Ia bergantung kepada beberapa faktor. Pertama keupayaan untuk kuasa tawar menawar bergantung kepada prestasi dua parti ini pada PRN 2026.
“Kedua, sama ada kerjasama PSB dan PDP akan menarik lebih ramai pengundi Iban dan Cina kepada dua parti ini berbanding parti lain dalam GPS.
“Ketiga, ia juga bergantung kepada mutu, kemahiran dan kebijaksanaan pemimpin PSB dan PDP dalam membicarakan perjuangan politik mereka,” katanya.
Mungkinkah kerjasama itu bakal menggugat kedudukan kerusi parti lain dalam GPS bila pilihan raya nanti?
Novel pula mengingatkan bahawa PSB adalah parti yang pro Pakatan Harapan (PH) semasa PRN12 lalu.
“Justeru itu saya merasakan agak sukar untuk pemimpin dan penyokong parti komponen GPS menerima parti PSB walaupun atas semangat perpaduan.
“Kesan kepada PDP saya tak nampak ketara kerana lawan utama PSB ialah SUPP, parti induk sebelum ini. Banyak kerusi DUN SUPP ditandingi oleh DAP dan PSB berbanding dengan kerusi PDP.
“Yang paling terkesan ialah SUPP. Namun saya percaya dengan ketokohan dan karisme Premier dan Presiden SUPP, perkara ini boleh diselesaikan secara keluarga,” katanya.
Berikutan keputusan dibuat PSB, kini tinggal hanya dua ADUN pembangkang dalam DUN Sarawak, Chong Chieng Jen (DAP-Padungan) dan Violet Yong (DAP-Pending) daripada keseluruhan 82 ADUN.
DAP kekal sebagai pembangkang dalam DUN Sarawak, tetapi menjadi sebahagian daripada komponen parti dalam Pakatan Harapan di peringkat Persekutuan yang membentuk Kerajaan Perpaduan bersama GPS selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak