

MIRI: Limau mandarin, simbol tuah dan kemakmuran Tahun Baharu Cina (TBC) menjadi penghubung kemesraan apabila SUPP Miri-Sibuti meneruskan tradisi tahunan pengagihannya kepada masyarakat di Pasar Lutong di sini hari ini.
Program berkenaan diadakan sempena TBC 2026 akan datang sebagai tanda keprihatinan serta usaha mengeratkan hubungan silaturahim bersama masyarakat setempat.
Pengagihan limau mandarin itu disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri yang juga ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang.
Menurut kenyataan Pejabat Perhubungan Parlimen SUPP Miri-Sibuti, aktiviti tersebut bukan sahaja bertujuan menyampaikan ucapan selamat menyambut TBC kepada masyarakat setempat, khususnya komuniti Cina di Miri, malah menjadi platform berkongsi kegembiraan perayaan serta menyemai nilai kasih sayang dan kebersamaan.
“SUPP sentiasa prihatin terhadap kebajikan komuniti, khususnya ketika musim perayaan.
“Melalui program seperti ini, penduduk setempat dapat merasai kehangatan sambutan perayaan dan sokongan berterusan daripada pimpinan parti,” menurut kenyataan itu.
Oleh Liong Chai Ling