
SIBU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong terus komited memperjuangkan pembangunan luar bandar menerusi lawatan tapak ke dua rumah panjang di kawasan Dudong baru-baru ini.
Lawatan yang diketuai oleh Pengerusinya, Wong Ching Yong, melibatkan kunjungan ke Rumah Luang dan Rumah Badong dengan tujuan meninjau kemajuan projek pembinaan serta mengenal pasti cabaran di peringkat pelaksanaan.

Semasa lawatan, Tuai Rumah Luang menyampaikan penghargaan kepada Wong atas bantuan dan sokongan yang telah membantu perkembangan rumah panjang tersebut daripada 20 kepada 24 pintu satu petanda pertumbuhan dan perpaduan komuniti yang semakin utuh.
Di Rumah Badong pula, penduduk memaklumkan mengenai kekurangan beberapa bahan binaan penting yang menyebabkan kelewatan dalam projek pembinaan.
Sebagai maklum balas, Wong memberi jaminan bahawa beliau akan memanjangkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa berkaitan serta meneroka kemungkinan mendapatkan bantuan melalui skim pinjaman Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) untuk memastikan masalah tersebut dapat ditangani segera.
Wong menegaskan bahawa penambahbaikan infrastruktur dan kualiti hidup penduduk rumah panjang luar bandar adalah aspek penting dalam usaha memacu pembangunan masyarakat secara seimbang.
Beliau menegaskan SUPP Dudong dan Sibu Jaya akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan suara rakyat didengar dan pembangunan luar bandar terus diperkasa.
Turut hadir Datuk Dr Soon Choon Teck, Kaunselor Jason Tay, Kaunselor Yiing Sy Huat serta wakil belia SUPP.
Oleh Tarani Lanting