
BINTANGOR: Program ‘Mobile Service 2 U’ anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor terus diperluas ke kawasan luar bandar bagi menyantuni keperluan rakyat tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong yang juga Pengerusi SUPP Cawangan Bintangor, Datuk Ding Kuong Hiing, berkata inisiatif tersebut merupakan antara pendekatan efektif untuk turun padang menyelami permasalahan rakyat serta menyampaikan maklumat berkaitan pelbagai program bantuan dan inisiatif kerajaan secara terus kepada masyarakat.
“Banyak program ‘Mobile Service 2 U’ telah diadakan di kawasan DUN Meradong tahun ini.
“Respons sangat menggalakkan. Penduduk rumah panjang berpeluang mengemukakan masalah mereka secara terus, selain mendapatkan penjelasan tentang program pembangunan kerajaan,” katanya ketika ditemui media selepas program tersebut yang dijalankan bertempat di Rumah Jin, Sungai Meradong, baru-baru ini.

Tambahnya, antara perkhidmatan yang disediakan sepanjang program termasuk permohonan baharu Kenyalang Gold Card (KGC), Program Faedah Kesihatan Warga Emas Sarawak (SCHB) serta Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
“Ia sekali gus memudahkan golongan warga emas dan isi rumah luar bandar mengakses bantuan.
“Kami akan memperluaskan penganjuran program ini ke rumah panjang mengikut zon demi memastikan setiap penduduk, khususnya di kawasan terpencil tidak tercicir daripada mendapat maklumat dan kemudahan asas.
“Saya berharap program ini akan terus diperkasakan. Ia bukan sahaja membawa khidmat ke pintu rumah rakyat, malah menjadi jambatan komunikasi dua hala antara pemimpin dan komuniti setempat,” katanya lagi.
Turut hadir ialah Bendahari SUPP Cawangan Bintangor, Lee Ngin Soon; Ketua Pergerakan Wanita SUPP Cawangan Bintangor, Kaunselor Chieng Ming Kiong; Ketua Pemuda SUPP Cawangan Bintangor, Ley Chee Hua, Pemanca Yii Hee Sieng, Kapitan Wong Leh Hee dan Kapitan Wong Mee King.
Oleh Earl Anek