
SIBU: Pasukan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan semalam meneruskan usaha mendekati rakyat dengan turun padang ke Rumah Chinda, Rantau Panjang.
Lawatan itu diketuai oleh Pengerusi SUPP Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie, bersama jurutera dari Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), bagi melaksanakan penyerahan tapak kepada kontraktor bagi projek pembinaan tempat letak kereta.
Menurut kaunselor Kevin, sebelum ini mereka telah menjalankan tinjauan tapak dengan MDLBS.
“Saya gembira projek itu dapat dimulakan tidak lama lagi di bawah dana khas Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk Bawang Assan,” katanya
Beliau berharap projek ini dapat berjalan dengan lancar dan mereka akan terus memantau perkembangannya sehingga siap dengan kerjasama masyarakat di Rh. Chinda.
Menyentuh tentang kerja penyelenggaraan jalan, Kaunselor Kevin memberitahu, ia kini telah dimulakan di Jalan Rantau Panjang.
Katanya, kerja penyelenggaraan jalan ini dijalankan di bawah Dana MARRIS pada tahun lepas yang dikemukakan oleh Kaunselor Johnny Ganning.
“Selepas meletakkan batu kerikil, kami menjangkakan penurapan semula akan dimulakan tidak lama lagi.
“Memandangkan titik selekoh jalan agak sempit, kami akan cuba meminta sama ada pembentung boleh dipanjangkan. Ini supaya selekoh boleh dilebarkan sedikit bagi meningkatkan keselamatan jalan raya kepada masyarakat di kawasan terbabit,” katanya.
Oleh Akun Giman