
KUCHING: Karnival Kesihatan Komuniti Bersatu demi Kesihatan anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kuching dengan kerjasama Pusat Perubatan Timberland (TMC) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jalan Rock/Bampfylde berjaya menarik penyertaan ramai penduduk setempat yang hadir mendapatkan pelbagai khidmat pemeriksaan kesihatan percuma, hari ini.
Pengerusi Penganjur merangkap Setiausaha Politik kepada Timbalan Premier Sarawak, Cr Nicholas Wung Duk Ying, berkata program itu dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan dan pengesanan awal penyakit.
“Program hari ini menawarkan 23 jenis saringan dan rundingan kesihatan percuma untuk semua peringkat umur.
“Perkhidmatan ini merangkumi pemeriksaan asas seperti tekanan darah, gula dan kolesterol, hinggalah pemeriksaan khusus seperti payudara, endokrin, ujian HPV, kepadatan tulang dan saringan kulit,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di sini hari ini.

Tambahnya, penganjuran karnival kesihatan itu selaras dengan peningkatan peruntukan kesihatan dalam Belanjawan 2026 yang diumumkan baru-baru ini, apabila kerajaan memperuntukkan RM46.5 bilion, meningkat sebanyak RM1.2 bilion berbanding tahun sebelumnya.
“Peningkatan ini menunjukkan penekanan serius kerajaan terhadap aspek kesihatan awam.
“Namun, kita berharap dana ini turut dimanfaatkan sepenuhnya untuk memberi manfaat kepada Sarawak dan rakyat Sarawak,” jelasnya.
Beliau turut menzahirkan rasa simpati terhadap kejadian melibatkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun di Samarahan yang meninggal dunia akibat komplikasi influenza baru-baru ini, sambil menegaskan pentingnya kesedaran kesihatan dan pencegahan awal.
“Kejadian itu mengingatkan kita semua betapa pentingnya pengesanan awal, penjagaan kesihatan pencegahan dan pendidikan komuniti untuk melindungi keluarga, terutama kanak-kanak serta golongan berisiko.
“Saya menggesa masyarakat agar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan menerusi saringan dan konsultasi percuma sepanjang karnival berkenaan.
“Terima kasih kepada TMC atas sokongan dan kerjasama mereka yang menjayakan karnival ini dan Kehadiran orang ramai hari ini menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya kesihatan semakin meningkat,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, dan wakil Ketua Pegawai Eksekutif TMC, Dr. Kelvin Ch’ng Boon Hong, iaitu ony Ngu selaku Pengurus Kanan Perkhidmatan Sokongan.
Oleh Masrin Affirah