KUCHING: Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Sebastian Ting mengalu-alukan penarikan balik keputusan Kerajaan Persekutuan untuk merayu terhadap penghakiman awal Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah “Allah”.
Menurut laporan media, Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memfailkan notis penamatan rayuan pada 18 April lalu.
Ting berkata, tindakan menarik balik itu merupakan tindakan yang wajar dilakukan.
“Saya percaya orang ramai akan menyokong dan berasa bersyukur melihat perkara itu digugurkan.
“Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan pada 10 Mac 2021 bahawa orang Kristian berhak menggunakan kalimah “Allah” untuk tujuan agama dan pendidikan.
“Pada masa itu , keputusan itu sama dengan membatalkan arahan Kementerian Dalam Negeri 1986 yang melarang penggunaan kalimah “Allah” dalam semua penerbitan Kristian dan mengesahkan hak perlembagaan Sarawak Christian Jill Irene untuk mengamalkan kepercayaannya.
“Ini bermakna keputusan adalah untuk menyuntik mesej positif ke dalam pegangan agama negara kita,” katanya.
Bagaimanapun, kata beliau amat dikesali dan membimbangkan kerajaan dan KDN kemudiannya membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Katanya, Kerajaan Persekutuan kini telah memutuskan untuk menarik balik rayuan berkaitan, yang juga mencerminkan kesungguhan Kerajaan Perpaduan sekarang untuk mempertahankan hak dan kepentingan semua kumpulan etnik dan agama, dan benar-benar melaksanakan konsep “Malaysia Sejahtera”.
Ting menegaskan bahawa kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah mempertahankan keharmonian semua kumpulan etnik dan semangat kesederhanaan.
Ini termasuk ketika Allahyarham Tok Nan atau Pehin Sri Tan Sri Adenan Satem masih hidup, beliau dengan jelas menyatakan pendirian Sarawak iaitu mengenai kebebasan beragama.
Katanya, Allahyarham berulang kali menegaskan bahawa penggunaan kalimah “Allah” bagi orang bukan Islam, bukan isu di Sarawak.
Katanya, sejak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan, beliau berkali-kali memuji Sarawak kerana memimpin negara dalam banyak bidang.
Anwar amat menghargai keupayaan pengurusan dan tadbir urus cemerlang kerajaan Sarawak.
Semua pencapaian ini malah tidak dapat dipisahkan daripada semangat keharmonian dan perpaduan Sarawak yang telah lama wujud di kalangan semua kaum, membolehkan pemimpin berturut-turut menumpukan perhatian dalam melaksanakan agenda pembangunan.
“Justeru, Kerajaan Persekutuan perlu mencontohi Sarawak dan menyatupadukan perpaduan semua etnik demi meneruskan agenda pembangunan.
“Tunjang perpaduan semua etnik ialah sikap bertolak ansur dan hormat-menghormati.
“Pemimpin negara harus menunjukkan contoh dan mengambil tindakan praktikal untuk mempertahankan hak dan kepentingan semua kumpulan etnik,” katanya.
Oleh Connie Chieng