Benjamin Sesko meraikan jaringan kemenangan Manchester United ketika menentang Everton. Foto AFP
LIVERPOOL: Benjamin Sesko masuk sebagai pemain gantian untuk melonjakkan Manchester United ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris menerusi kemenangan 1-0 di gelanggang Everton sebentar tadi, sekali gus memanjangkan permulaan tanpa kalah Michael Carrick bersama The Red Devils.
Sesko masih belum berada dalam kesebelasan utama dalam enam perlawanan di bawah kendalian Carrick, namun penyerang Slovenia itu berada pada prestasi terbaik sejak Ruben Amorim dipecat bulan lalu.
Pemain yang berhijrah dari RB Leipzig dengan nilai £74 juta (AS$100 juta) itu sebelum ini hanya meledak dua gol dalam 22 penampilan pertamanya, namun kini sudah menjaringkan enam gol dalam tujuh aksi terakhir.
Kemenangan itu meletakkan United tiga mata di depan Chelsea dan Liverpool dalam perebutan tiket ke Liga Juara-Juara musim depan, dengan hanya lima pasukan teratas layak ke saingan elit Eropah tersebut.
Jaringan kemenangan 19 minit sebelum tamat perlawanan hadir menerusi gerakan berkualiti tinggi United yang jarang disaksikan dalam aksi hambar sepanjang 90 minit.
Everton kini gagal menang dalam tujuh perlawanan di laman sendiri ketika mereka masih bergelut menyesuaikan diri di stadium baharu berkapasiti 52,000 penonton, Hill Dickinson Stadium.
Anak buah David Moyes terlepas peluang untuk melonjak ke tangga ketujuh dan terus berada di pinggiran perebutan slot Eropah musim depan.
Everton sebelum ini menewaskan United 1-0 di Old Trafford pada November lalu walaupun bermain hampir keseluruhan perlawanan dengan 10 pemain.
United tampak berubah wajah sejak bekas pemain tengah mereka, Carrick, mengambil alih tugas, namun kedua-dua pasukan kurang rentak selepas kali pertama beraksi dalam tempoh 13 hari.
Jordon Pickford menyelamatkan percubaan Amad Diallo seawal minit kedua dalam satu-satunya peluang terbaik babak pertama.
Bryan Mbeumo sekali lagi diberi kepercayaan mengisi peranan penyerang tengah mengatasi Sesko, namun mensia-siakan peluang terbaiknya pada awal separuh masa kedua apabila rembatan dari sudut sempit melambung tinggi.
Bagaimanapun, Mbeumo memainkan peranan penting dalam gerakan menarik yang menghadiahkan tiga mata buat pelawat.
Sesko terlebih dahulu membuat hantaran kepada Matheus Cunha jauh di kawasan sendiri sebelum memecut ke depan untuk menyempurnakan hantaran tepat Mbeumo.
United terpaksa bertahan daripada asakan lewat Everton apabila Senne Lammens menepis rembatan deras jarak jauh Michael Keane.
Namun selepas hanya mencatat dua perlawanan tanpa bolos sepanjang musim sebelum pemergian Amorim, United kini mengumpul tiga ‘clean sheet’ dalam enam aksi di bawah Carrick dan semakin hampir kembali ke Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh tiga musim. – AFP