SAKSI… Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sarawak Energy Berhad (SEB) dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), semalam. SEB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datu Sharbini Suhaili manakala CIDB diwakili Ketua Eksekutifnya, Datuk Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid.
KUCHING: Sarawak dijangka menerima suntikan dana lebih RM100 bilion dalam jangka masa lapan tahun akan datang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata jumlah itu melebihi sasarannya sebelum ini iaitu RM64 billion pada 2030.
Sebelum ini katanya, kerajaan Sarawak menganggarkan suntikan dana dengan sasaran untuk mencapai purata enam hingga lapan peratus pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi mencapai status negeri maju menjelang 2030.
“Bagaimanapun, saya rasa RM64 bilion adalah sangat konservatif kerana Sarawak Energy Berhad (SEB) sahaja akan menyuntik RM40 billion sehingga 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SEB dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.
Abang Johari berkata, suntikan dana tersebut tidak termasuk pelaburan dalam pelan hidrogen.
“Dengan kata lain, suntikan dana RM64 bilion adalah sangat konservatif. Sekarang kita ada lebih kurang RM100 bilion untuk disuntik ke dalam ekonomi kita sehingga 2030,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata negeri ini turut menghadapi projek sakit.
“Kini, Sarawak menghadapi projek sakit dan saya akan mengumumkan bantuan kerajaan dari segi harga bahan tidak lama lagi. Selain itu, saya juga akan membantu kontraktor agar sasaran negeri maju menjelang 2030 dapat dicapai,” katanya.
Oleh itu, katanya, kerajaan Sarawak memerlukan kerjasama sektor swasta dan awam untuk merealisasikan sasaran ini.
Oleh NUR AIN OTSMAN