Aktiviti beriadah di sungai kini masih menjadi destinasi pilihan ramai, meskipun masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Di bandar raya Kuching sahaja, pelbagai destinasi sungai dapat dikunjungi bersama keluarga dan rakan-rakan.
Antaranya Sungai Rayu, Matang, yang sememangnya dikenali dengan aktiviti perkelahan, barbeku dan bersantai sambil menikmati keindahan alam semula jadi.
Terletak lebih kurang 35 km dari Kuching dan berhampiran Pusat Hidupan Liar Matang, sungai ini mengalir dari Gunung Serapi.
Airnya yang jernih dan sungai yang berbatu adalah antara sebab ia menjadi tarikan umum.
Selain itu, air sungai juga sejuk dan kawasan yang luas telah diolah seperti kolam mandi semulajadi yang menjadi kesesuaian bagi setiap peringkat umur untuk mandi-manda.
Dikelilingi hutan dan pokok-pokok yang rendang dan tinggi, turut menambah suasana yang sejuk dan nyaman kepada pengunjung.
Ada juga aktiviti seperti terjun sungai menggunakan tali yang diikat di pohon pokok berhampiran, yang sememangnya digilai penerjun dikalangan orang muda.
Kunjungan ke sungai itu, kelihatan amat sibuk terutamanya pada hari cuti umum dan hujung minggu.
Berkesempatan menemu bual seorang pengunjung, Sebastian Lim, 31 tahun berkata beriadah di sungai itu sememangnya antara pilihan beliau bagi melapangkan fikiran setelah penat bekerja pada hari biasa.
“Ia juga merupakan peluang untuk mengeratkan hubungan dan bergembira bersama keluarga dan rakan-rakan.
“Dan ia tidaklah sukar untuk ke destinasi ini, serta kemudahan meletak kenderaan juga disediakan bagi pengunjung,” katanya.
Beliau menambah pengunjung juga bebas untuk melakukan aktiviti seperti barbeku, makan-makan dan mandi-manda.
“Namun, kita harus beringat untuk menjaga diri dan keluarga dari sebarang musibah, dan juga menjaga tempat ini supaya kekal bersih dan selamat untuk dikunjungi pada masa hadapan,” katanya.