
BINTULU: Sungai Plan dipilih sebagai lokasi utama Projek River Recovery (R2) adalah inisiatif pemulihan alam sekitar yang kini menjadi acara utama Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia Peringkat Sarawak 2025 sebagai pengiktirafan terhadap usaha kolaboratif kerajaan dan sektor industri dalam menangani pencemaran sungai.
Projek yang dibiayai Malaysia LNG Sdn Bhd dan dilaksanakan bersama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) itu bertujuan memulihkan kualiti air Sungai Plan yang terjejas akibat pencemaran industri dan saliran awam.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Dato Majang Renggi berkata, pemulihan Sungai Plan adalah simbol komitmen Sarawak ke arah pembangunan mampan dan industri rendah karbon sejajar dengan matlamat negeri menjadi maju menjelang 2030.
“Projek ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan industri, tetapi juga memulakan langkah konkrit ke arah penyelesaian berasaskan alam semula jadi bagi memulihkan landskap dan kualiti air,” katanya ketika merasmikan program tersebut.
Tambah beliau, program tersebut menerima maklum balas positif daripada Premier Sarawak dan kini menjadi ‘Signature Event’ negeri dalam agenda kelestarian alam sekitar.
Sementara itu, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Datu Muhamad Yakup Kari berkata, pemulihan sungai merupakan komponen kritikal dalam memastikan Bintulu kekal sebagai hab industri yang mesra alam dan berdaya saing.
“Pemulihan Sungai Plan bukan hanya soal alam sekitar, tetapi ia adalah pelaburan masa depan untuk memastikan Bintulu berkembang secara lestari dan dapat menarik pelaburan hijau.
“Kita perlukan kerjasama semua pihak seperti kerajaan, industri dan masyarakat untuk menjadikan usaha ini benar-benar berimpak tinggi dan mampan,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih