HANOI: Penduduk bandar ini mengharungi air paras pinggang hari ini berikutan air sungai di Hanoi mencecah paras tertinggi dalam tempoh 20 tahun dengan angka korban kini melepasi 150 orang.
Susulan Taufan Yagi yang melanda utara Vietnam, negara jirannya iaitu Thailand dan Myanmar turut terkesan dan mengalami banjir serta tanah runtuh, malah ada penduduk dilaporkan terkorban.
Taufan yang melanda Vietnam hujung minggu lalu membawa angin melebihi 149 kilometer sejam (km/j) dan hujan lebat yang turut mengakibatkan banjir.
Sungai Merah di Hanoi mencapai paras tertinggi dalam tempoh 20 tahun hari ini, memaksa penduduk meredah air banjir paras pinggang ketika mereka cuma menyelamatkan harta benda dari rumah yang ditenggelami air.
Keadaan itu memaksa penduduk membina bot sementara menggunakan apa sahaja bahan yang ditemui.
“Ini banjir terburuk pernah saya saksikan. Saya tidak sangka air akan naik secepat itu.
“Saya berpindah kerana jika air naik sedikit sahaja lagi, tentunya sangat sukar untuk kami menyelamatkan diri,” kata seorang penduduk, Nguyen Tran Van, 41 yang tinggal berhampiran Sungai Merah, di ibu negara Vietnam selama 15 tahun kepada AFP.
Tanah runtuh melanda perkampungan pergunungan terpencil Lang Nu di wilayah Lao Cai, menyebabkan ia bertukar rata, padat dengan lumpur dan batuan.
Media kerajaan berkata, sekurang-kurangnya 30 terbunuh di kampung itu dengan 65 lagi individu masih hilang.
Penduduk kampung menempatkan mayat di atas tanah, selain ada diletakkan dalam keranda sementara, dibungkus dengan kain.
Ketika ini pihak polis melakukan operasi menyelamat dengan menggali tanah untuk mencari lebih ramai mangsa.
Media Vietnam berkata, jumlah korban berikutan taufan terburuk melanda utara Vietnam dalam tempoh 30 tahun itu meningkat kepada 155 orang di seluruh negara, dengan 141 lagi masih hilang. – AFP