DATUK Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Len Talif Salleh menunjukkan nota pembentangan pada persidangan hari ketiga Mesyuarat Kedua bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 di Kuching. •Foto HERRIEY NAHA
KUCHING: Sarawak dijangka mempunyai sumber pendapatan baharu dianggarkan RM315 juta setahun melalui Aktiviti Karbon Hutan.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini berdasarkan Harga Karbon Bank Dunia semasa sebanyak AS$5.00 (RM22.02) setan karbon dengan anggaran 30 peratus daripada Hutan Kekal mempunyai unit kredit karbon menghasilkan karbon pada kadar 200 tan karbon/hektar.
“Sektor swasta dalam industri perhutanan kita kini akan mempunyai peluang untuk melabur dalam skim mempromosikan Aktiviti Karbon Hutan dan aktiviti pemuliharaan dan penghutanan semula lain untuk penyerapan karbon dan stok karbon untuk unit kredit karbon.
“Sektor swasta harus menerima semua peluang baharu yang dikemukakan oleh pindaan ini dan menyemak semula model perniagaan mereka, kerana pembalakan dan penebangan kayu boleh niaga perlu dikurangkan secara beransur-ansur ke tahap yang mampan untuk mengurangkan kesan buruk alam sekitar daripada pembalakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU Hutan (Pindaan) 2022 untuk bacaan kali kedua dalam Persidangan Hari Ketiga Mesyuarat Kedua bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, semalam
Sarawak mempunyai jumlah keluasan tanah kira-kira 12.4 juta hektar pada masa ini merangkumi 7.7 juta hektar atau 62 peratus masih di bawah kawasan tutupan hutan.
Di bawah Dasar Guna Tanah Sarawak, tujuh juta hektar diperuntukkan untuk perhutanan dan pemuliharaan mampan. Daripada jumlah tersebut, enam juta hektar adalah Hutan Kekal (PF) dan satu juta hektar adalah Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA). Dari kawasan hutan ini, penyerapan karbon boleh dilakukan untuk membentuk stok karbon dan unit kredit karbon boleh diperolehi.
Dalam pada itu, Rang Undang-undang Hutan (Pindaan) 2022 bertujuan untuk memberi kuasa kepada Pengarah Hutan dengan kelulusan menteri bagi mengeluarkan lesen bagi Aktiviti Karbon Hutan ke atas tanah negeri, hutan kekal dan tanah milik yang akan membawa kepada pengurangan pelepasan karbon dioksida dan gas rumah hijau lain.
Ujar beliau, di bawah RUU ini, lesen untuk Aktiviti Karbon Hutan akan dikeluarkan setelah pembayaran fi dan caj yang diperlukan.
“Selepas pemberian lesen, Pemegang Lesen akan diberikan hak milik penuh berfaedah dan sah kepada stok karbon atau stok gas rumah hijau (GHG) yang dicipta olehnya dan unit kredit karbon yang dikeluarkan oleh Piawaian Karbon berkenaan dengan Pengurangan Pelepasan yang dicapai oleh Aktiviti Karbon Hutan.
“Di bawah sistem pelesenan ini, kepentingan sah Pemegang Lesen dan mereka yang melabur dalam Aktiviti Karbon Hutan dilindungi oleh undang-undang. RUU tersebut mewajibkan mana-mana orang untuk mendapatkan lesen sebelum menjalankan sebarang aktiviti Karbon Hutan jika tidak, kesalahan akan dilakukan dengan akibat hukuman,” katanya sambil memberitahu RUU ini bertujuan untuk meminda Ordinan Hutan yang berkuat kuasa sejak 1 Jun 2015.
“Ordinan Hutan mengawal selia pengurusan dan penggunaan hutan kita dan pengambilan, penyingkiran, eksport dan penjualan hasil hutan. Apabila RUU ini diluluskan, ‘hasil hutan’ akan merangkumi ‘stok karbon dan stok gas rumah hijau (GHG)’ yang dihasilkan melalui Aktiviti Karbon Hutan berlesen yang dijalankan di hutan kekal kita, di negeri dan tanah milikan,” ujarnya.
Tambah Awang Tengah, melalui pindaan ini, Kerajaan Sarawak akan menggalakkan aktiviti di dalam hutan yang akan mengurangkan kesan buruk terhadap perubahan iklim.
“Ini akan dicapai melalui penyerapan karbon dan sinki karbon, dengan itu tercipta stok karbon. RUU tersebut membayangkan bahawa melalui Peraturan yang akan dibuat, aktiviti ini akan disahkan mengikut Piawaian Karbon Disahkan (VCS) oleh VERRA atau institusi global lain yang diiktiraf untuk pengeluaran unit karbon disahkan boleh dagangan. Unit karbon yang disahkan akan didaftarkan mengikut Peraturan Standard Karbon yang boleh didagangkan secara global.
“Peraturan juga akan memberi kuasa kepada Kerajaan Sarawak untuk mengutip royalti, premia, levi atau cukai untuk atau berkaitan dengan Aktiviti Karbon Hutan,” ujarnya.