MAKKAH: Sumbangan derma orang ramai untuk membantu pesara guru dari Sarawak setelah terlantar sebulan di hospital di sini, sudah mencecah angka lebih RM22,000 setakat petang semalam.
Ia bagi membantu Jaliha Sakli, 56, yang mengidap meningitis menyelesaikan sebahagian bil hospital, yang berjumlah SR116,000 (RM135,612).
Jaliha sudah dibenarkan keluar Hospital Pakar Al-Noor, kira-kira 18 kilometer dari sini Rabu lalu setelah rundingan dengan pihak pengurusan hotel oleh agensi pelancongan yang mengatur pakej umrah.
Jaliha dan suaminya Ahmad Abas Ali, 58, kini menginap di sebuah hotel di sini sementara menunggu penerbangan pulang ke Malaysia.
Ahmad Abas bagaimanapun berkata tarikh sebenar penerbangan melalui Saudi Air itu belum disahkan kerana tertakluk kepada kekosongan.
Katanya, pihak Etika Insurans (Malaysia) mengatakan mungkin penerbangan itu pada Rabu depan, 22 Februari atau lebih awal tetapi belum ada pengesahan diberi.
“Saya masih menunggu pengesahan mereka,” katanya di sini hari ini.
Jaliha sudah pulih tetapi masih lemah untuk berjalan. Namun, pihak Etika mungkin menyediakan jururawat untuk mengiring mereka dalam penerbangan pulang.
Jaliha yang berasal dari Kampung Pangtray, Daro mengidap meningitis dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu pada 15 Januari lalu.
Setelah koma selama 11 hari, Jaliha kemudian dimasukkan ke wad biasa.
Ahmad Abas dan isterinya sudah selesai mengerjakan tiga kali umrah dan bersedia untuk berangkat pulang ke Malaysia apabila Jaliha dijangkiti meningitis.
Mereka berdua bersama rombongan melalui agensi pelancongan umrah swasta tiba di sini pada 28 Disember lalu untuk pakej umrah selama 22 hari.