
KUCHING: SJK(C) Chung Hua Sungai Lubak menerima RM31,962.00 bagi membantu menaik taraf sudut bacaan sekolah dengan perabot baharu serta bahan pembelajaran lain.
Pembantu Khas kepada YB Chong Chieng Jen, Michael Kong berkata sumbangan itu bertujuan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan menarik bagi menggalakkan murid membentuk tabiat membaca.
“Pada masa ini kanak kanak sentiasa dikelilingi gajet dan video pendek. Oleh itu penting untuk kita membantu mereka kembali menghargai keseronokan membaca.
“Membaca membina tumpuan, kefahaman, kreativiti dan pemikiran kritikal, iaitu kualiti yang tidak dapat diganti oleh jalan pintas digital,” katanya.
Kong turut memuji komitmen pihak sekolah dalam memupuk literasi serta menyediakan pendidikan yang seimbang.
Beliau berkata sokongan akan diteruskan bagi memastikan murid menikmati ruang pembelajaran yang positif dan bermakna.
Majlis penyerahan cek diadakan bersama Lembaga Pengurusan dan wakil SJK(C) Chung Hua Sungai Lubak.
Oleh Connie Chieng