KUCHING: Majlis Islam Sarawak (MIS) telah memperuntukkan lebih RM1.5 juta sebagai sumbangan dana pengurusan Ramadan untuk masjid, surau dan tanah perkuburan Islam di negeri ini.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, sejumlah RM1,000 disampaikan kepada 1,500 jawatankuasa masjid dan surau di seluruh Sarawak dan juga dengan 450 jawatankuasa tanah perkuburan yang berdaftar.
“Setiap wakil jawatankuasa masjid, surau dan tanah perkuburan Islam dari Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian telah tampil untuk menerima sumbangan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan tersebut di sini, hari ini.
Pada majlis sama, penyerahan sumbangan umat Islam Sarawak sebanyak RM350,000 untuk mangsa gempa bumi Turkiye dan Syria turut disampaikan kepada Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ruslan Said.
Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha dan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Khalidi Ibrahim
Oleh Azreen Keria