
BINTULU: Universiti Putra Malaysia Kampus Sarawak (UPMS) menggesa orang awam serta warga universiti untuk bersama-sama menyumbang kasut hitam bertutup bagi membantu graduan yang bakal menghadiri Majlis Konvokesyen ke-49 (Sidang 1).
Menurut UPMS, sumbangan berkenaan terbuka kepada kasut lelaki dan wanita yang masih dalam keadaan baik serta sesuai dipakai semula oleh graduan yang memerlukan.
“Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif bantuan pelajar konvokesyen bagi membantu graduan yang belum lengkap dari segi etika pemakaian, sekali gus memastikan mereka dapat menghadiri majlis dengan penuh tertib dan berpenampilan kemas,” katanya.
Sumbangan boleh dibuat sehingga 31 Oktober 2025 dan sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada pegawai yang disenaraikan dalam poster hebahan rasmi universiti.
Majlis Konvokesyen ke-49 (Sidang 1) UPMS akan berlangsung di Dewan Sri Kenyalang pada 1 dan 2 November ini.
Usaha seumpama itu mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan warga kampus serta masyarakat dalam meraikan kejayaan para graduan.
Oleh Carolyne Utih