LAWAS: Sumbangan ikhlas masyarakat dan berbagai badan bukan kerajaan (NGO) di Lawas amat diperlukan dalam membantu warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lawas bangkit daripada musibah kebakaran.
Exco Saberkas Negeri Sarawak (Biro Kebajikan) Steve Lius memberitahu bahawa sumbangan kecil berupa peralatan pencetak, kertas dan lain-lain alat bantu mengajar boleh hulur sebagai tindakan awal membantu pihak pentadbiran sekolah.
“Kami berterima kasih kepada Saberkas Cawangan Ba’kelalan yang tampil bersama sumbangan bahan keperluan pejabat seperti pencetak, alat tulis, kertas dan beberapa alat tulis untuk pihak guru dan kerani memulakan urusan mereka.
“Jadi kami harap akan lebih banyak NGO tampil selepas ini untuk sama-sama membantu warga SMK Lawas bangkit semula,” katanya selepas penyerahan sumbangan kepada Pengetua SMK Lawas Tuah Adis.
Turut sama ialah Exco Saberkas Negeri Sarawak(Pembangunan Usahawan) Awangku Bahar Pengiran Jini, Pengerusi Saberkas Cawangan Ba’kelalan John Tua, Setiausaha Saberkas Bakelalan Bidin Untong dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Nor Fazila Ibrahim.
Tuah Adis mengucapkan terima kasih kepada Saberkas Sarawak dan Saberkas Cawangan Ba’kelalan khususnya atas keperihatinan.
“Kita berdepan cabaran untuk mengumpul semula segala data guru, murid yang tersimpan dalam komputer sekolah dan telah musnah dalam kebakaran pada Selasa lalu.
Sumbangan berbagai pihak dan penduduk Lawas yang sentiasa prihatin dengan sekolah ini sememangnya amat menyentuh hati kami,” katanya.
Malahan beliau dan barisan guru SMK Lawas akan memastikan momentum pendidikan di sekolah berkenaan dapat diangkat balik dan musibah yang melanda akan menjadi titik untuk semua warga SMK Lawas bangkit ke arah kecemerlangan.
Awangku Bahar yang pernah menjadi pelajar dan guru sementara di SMK Lawas turut merasa sedih atas insiden kebakaran di SMK Lawas pada Selasa.
Beliau berharap pembinaan SMK Lawas 2 yang sedang dalam pembinaan dapat dipercepatkan agar boleh digunakan pada sesi tahun depan.
“Melihat keadaan sekolah yang sedia ada ini memang tidak sesuai lagi untuk aktiviti pembelajaran kerana keadaan bilik darjah yang uzur dan kurang selamat.
“SMK Lawas yang telah wujud sejak 1962 dulu memang tidak sesuai dan dapat dilihat betapa keadaan bangunan kelas yang uzur, laluan berbukit yang merbahaya dan amat tidak sesuai lagilah pada zaman sekarang ini,” ujarnya.
Setakat ini isu melibatkan bekalan elektrik, bekalan air dan telekomunikasi masih menjadi cabaran yang terpaksa dihadapi oleh SMK Lawas sebelum dan selepas kebakaran.
Oleh Adeng Edrus