
TANJONG MANIS: Seramai 2,419 penerima dari kawasan Parlimen Tanjong Manis menerima sumbangan sempena sambutan Hari Gawai Dayak 2025.
Sumbangan ini telah diagihkan menerusi Pusat Khidmat Tanjong Manis kepada penduduk setempat melalui Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) masing-masing.
Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir Yusuf Abd Wahab turut menghadiri proses agihan berlangsung pada 27 dan 28 Mei lalu, melibatkan beberapa lokaliti utama seperti Sare, Kerapa dan Kerubong.
Menurut beliau, sumbangan ini adalah sebagai tanda kasih sayang dan penghargaan kepada masyarakat Dayak yang bakal menyambut perayaan Gawai Dayak.
“Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat menceriakan sambutan Hari Gawai di setiap rumah dan memberi makna kepada semangat kekeluargaan serta perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya semasa ditemui semasa sesi penyerahan sumbangan semalam.
Sumbangan ini bukan sahaja bertujuan untuk meringankan beban kewangan menjelang perayaan, malah turut berperanan menyemarakkan semangat sambutan Gawai Dayak serta mengeratkan jalinan antara pemimpin dan rakyat pelbagai kaum.
Beliau turut menyeru agar masyarakat Dayak terus memelihara warisan budaya serta mengukuhkan semangat perpaduan dan hubungan erat sesama kaum yang menjadi asas penting keharmonian Sarawak.
-UKAS