Sumbangan Bank Makanan Siswa bantu ringankan beban pelajar PMU

Facebook
WhatsApp
WAKIL KPDN Sarawak dan pihak pengurusan Politeknik Mukah bersama wakil syarikat Lian Huat serta pelajar bergambar selepas majlis penyerahan Sumbangan Ihsan Bank Makanan Siswa di PMU, Mukah. Foto: PMU

MUKAH: Sesi penyerahan Sumbangan Ihsan Bank Makanan Siswa di Politeknik Mukah (PMU) memberi kelegaan kepada pelajar apabila menerima bantuan barangan keperluan asas hasil kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak bersama Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar serta Gerakan Pengguna Siswa (GPS) PMU, baru-baru ini.

Program berkenaan turut menyaksikan sumbangan berjumlah RM2,000 dalam bentuk barangan keperluan asas disalurkan oleh syarikat Lian Huat, Oya bagi membantu pelajar yang memerlukan.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh wakil syarikat, Kelvin Ong kepada Pengarah PMU, manakala KPDN Sarawak diwakili oleh Mohamad Rizal Sehe.

Majlis turut dihadiri barisan pengurusan dan pegawai PMU termasuk Suhaili Aleh, Iskandar Reduan selaku Timbalan Pengarah Akademik, Sophian Sout selaku Timbalan Pengarah Sokongan Akademik serta wakil dan penasihat Gerakan Pengguna Siswa.

Pengarah PMU, Suhaili Aleh berkata, inisiatif seperti itu amat bermakna dalam membantu kebajikan pelajar khususnya dalam mendepani cabaran kos sara hidup.

KOTAK sumbangan barangan keperluan asas Bank Makanan Siswa yang diserahkan bagi membantu kebajikan pelajar Politeknik Mukah. Foto: PMU

“Pihak PMU amat menghargai sumbangan yang diberikan. Ia bukan sahaja membantu keperluan asas pelajar, malah memberi dorongan untuk mereka terus memberi tumpuan kepada pengajian,” katanya.

Sementara itu, Kelvin Ong berkata pihaknya komited untuk terus menyokong usaha kebajikan pelajar dan komuniti pendidikan.

“Kami berharap sumbangan ini dapat meringankan beban pelajar serta menggalakkan lebih banyak pihak tampil membantu,” ujarnya.

Seorang wakil pelajar, Belteshazzar Uwen pula menzahirkan penghargaan atas keprihatinan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.

Pihak PMU dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada Lian Huat atas sumbangan yang diberikan dan berharap program seumpama ini dapat diteruskan dengan lebih banyak penglibatan pihak industri pada masa akan datang.