
BINTULU: Keprihatinan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) terhadap kebajikan masyarakat setempat terus dizahirkan menerusi penganjuran Program Bintulu Port Prihatin – Sumbangan Bakul Makanan sempena Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2026, yang dilaksanakan melalui Yayasan Bintulu Port.
Program berkenaan memberi fokus kepada bantuan berbentuk keperluan asas bagi membantu golongan memerlukan membuat persiapan perayaan, selain mengeratkan hubungan antara syarikat dan komuniti pelbagai kaum di Bintulu.
Pengurus Besar, Group Stakeholder Relations BPHB, Maslihah Tioh berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan syarikat dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat secara menyeluruh dan berimpak.

Menurut beliau, walaupun sumbangan yang diberikan tidak besar, ia diharap mampu membawa sedikit kelegaan dan keceriaan kepada penerima menjelang sambutan TBC.
“BPHB sentiasa komited untuk berkongsi rezeki dengan masyarakat setempat.
“Melalui program ini, kami berharap penerima dapat menyambut TBC dalam suasana yang lebih bermakna bersama keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis simbolik penyerahan sumbangan bakul makanan yang berlangsung di Kuil Si Thian Hock Teck Wang Hock Shu Moo (Kuan Yin Tong) di sini, sebelum diteruskan dengan majlis Hi-Tea di sebuah hotel di sini, hari ini.
Maslihah turut memaklumkan bahawa pendekatan CSR BPHB menitikberatkan elemen keterangkuman dengan pelaksanaan program sempena pelbagai perayaan utama seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai dan Hari Krismas sepanjang tahun.
“Pemilihan rumah ibadat sebagai lokasi pelaksanaan program dibuat secara bergilir, selaras dengan usaha memupuk persefahaman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat,” jelasnya.
Ujar beliau, BPHB akan terus melaksanakan program CSR yang memberi manfaat langsung kepada komuniti, seiring dengan aspirasi syarikat untuk menyumbang kepada kesejahteraan sosial dan pembangunan mampan di Bintulu.
Oleh Carolyne Utih