
SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa sukacita dengan pengalaman dan ilmu yang diperoleh sepanjang lawatan di Ekspo Dunia 2025 Osaka di Kansai, Jepun.
Baginda yang diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melawat 36 pavilion sepanjang lima hari berada di negara matahari terbit itu, bermula pada 3 Mei lepas.
Sultan Sharafuddin menyifatkan lawatan itu sebagai satu proses pembelajaran, khususnya mengenai kemampanan teknologi baharu, perubahan cuaca bumi dan kesannya terhadap sumber asli dan alam sekitar, serta prospek masa hadapan sosial dan ekonomi global.
Menurut hantaran di Facebook Selangor Royal Office, ia merupakan Ekspo Dunia keempat dihadiri baginda selepas Seville, Sepanyol pada 1992 serta Shanghai, China dan Dubai, masing-masing pada 2010 dan 2021.
Sultan Sharafuddin tertarik dengan konsep Ekspo Dunia yang telah dianjurkan sejak 1851 itu lagi sebagai platform global bagi negara-negara mempamerkan pencapaian terbaik dalam pelbagai bidang seperti teknologi, inovasi, budaya, seni bina, ekonomi, dan penyelesaian sosial.
Ekspo di Osaka membawa tema utama “Mereka Bentuk Masyarakat Masa Depan Demi Kehidupan Sejagat” dengan penyertaan 158 negara yang menampilkan keunikan pavilion masing-masing.
Antara pavilion yang dilawati baginda ialah Austria, Bahrain, China, Colombia, Kuwait, Switzerland, Australia, Azerbaijan, Jerman, Indonesia, Korea, Arab Saudi, Sepanyol, Thailand, Turkiye dan Uzbekistan.
Baginda juga berkenan melawat pavilion Jepun, Kanada, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Perancis, Filipina, China dan Bahrain selain meluangkan masa di pavilion Belanda, Oman, Hungary, United Kingdom, Brazil, Turkmenistan dan Nordic.
Pada hari terakhir lawatan, Sultan Sharafuddin berkenan menyaksikan tema-tema yang dipersembahkan di pavilion Portugal, Mesir, Chile, Monaco dan Peru.
“Baginda mendapati hasil dan persembahan daripada setiap pavilion negara terlibat mampu menyampaikan mesej sejagat yang meluas, merangkumi pelbagai aspek kehidupan demi kelangsungan dan penyatupaduan manusia pada masa hadapan,” menurut hantaran itu. — Bernama