
KUCHING: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk mencemar duli ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh, hari ini.
Keberangkatan tiba Sultan Pahang bersama-sama dengan anakanda, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah sekitar 2.40 petang tadi disambut oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.

Sejurus tiba, Sultan Pahang dan Tengku Muhammad dibawa melawat ke Galeri Mini Semenggoh sebelum melawat ke kawasan memberi makan orang utan.
Pada lawatan yang berlangsung selama 15 minit itu, Sultan Pahang dan Tengku Muhammad turut berkenan melihat kelibat dua ekor orang utan bernama Edwin dan Selena di pusat hidupan liar tersebut.

Dalam lawatan ke pusat pemuliharaan itu juga, Sultan Pahang dan Tengku Muhammad telah menerima sembah taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Abang Arabi Abang Aimran.
Turut hadir mengiringi keberangkatan lawatan Sultan Pahang ialah Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam serta yang lain.