Sultan Pahang berkenan hadiri santapan malam di Kuching

Facebook
WhatsApp
SULTAN Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menghadiri Majlis Santapan Malam di Kuching, malam ini. Foto UKAS

KUCHING: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Santapan Malam sempena keberangkatan tiba baginda di sini, malam ini.

Keberangkatan tiba baginda kira-kira 8.00 malam disambut Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu rasmi Sarawak dan Pahang sebelum diteruskan dengan persembahan tarian pelbagai etnik yang mencerminkan keunikan serta kepelbagaian budaya masyarakat Sarawak.

Suasana majlis turut diserikan dengan tayangan video khas Kembara Kenali Borneo 2023, mengimbau kembali kunjungan bersejarah baginda ke Sarawak ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

SULTAN Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta tetamu kenamaan pada Majlis Santapan Malam sempena keberangkatan Baginda ke Kuching, malam ini. Foto UKAS

Baginda bersama tetamu kemudiannya menikmati santapan malam sambil dihiburkan dengan persembahan nyanyian dan tarian kebudayaan.

Majlis diakhiri dengan persembahan lagu Bekikis Bulu Betis, antara lagu yang cukup sinonim dengan Sarawak dan membawa semangat kebersamaan masyarakat negeri ini.

Sultan Pahang kemudiannya berangkat meninggalkan majlis dengan diiringi Tun Pehin Sri Wan Junaidi, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta dif-dif kenamaan.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Menteri dan Timbalan Menteri Sarawak serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad