Sultan Pahang berangkat tiba di Kuching

Facebook
WhatsApp
RAMAH MESRA…Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika bersama barisan kenamaan di LTAK, hari ini. Foto UKAS

KUCHING: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selamat berangkat tiba di Terminal Orang Kenamaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), hari ini bagi lawatan ke Sarawak.

Keberangkatan tiba baginda kira-kira 11.45 pagi disambut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Pada sebelah malam, baginda dijadualkan berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Esok, baginda dijadualkan menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Sultan Abdullah, Telok Melano sebelum berkenan menyempurnakan perasmian masjid berkenaan.

Masjid itu mempunyai nilai sentimental tersendiri buat baginda apabila Al-Sultan Abdullah pernah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah masjid berkenaan pada 13 September 2023 ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah disambut sejurus berangkat tiba di LTAK, hari ini. Foto UKAS

Selepas majlis perasmian, baginda dijadualkan menanam anak pokok Bauhinia purpurea di pekarangan masjid sebelum bersiar di Pantai Telok Melano dan bergambar di titik 0.00 Lebuh Raya Pan Borneo.

Turut menyambut keberangkatan tiba baginda di LTAK ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua.

Hadir sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah serta Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Mohd Sobirin Mohd Yusof.

Baginda dijadualkan berangkat pulang ke Pahang Darul Makmur pada Sabtu menerusi penerbangan dari LTAK ke Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan.