Sultan Pahang bantu mangsa kemalangan di Lebuh Raya Pan Borneo

Facebook
WhatsApp
SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan turun membantu dan menenangkan mangsa kemalangan jalan raya di Lebuhraya Pan Borneo berhampiran Kampung Stungkor, Jalan Bau-Lundu, hari ini. Foto Facebook Kesultanan Pahang

LUNDU: Keprihatinan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terserlah apabila baginda berkenan berhenti membantu mangsa kemalangan di Lebuh Raya Pan Borneo berhampiran Kampung Stungkor, Jalan Bau-Lundu, petang tadi.

Kejadian kira-kira 3.30 petang itu berlaku ketika baginda dalam perjalanan dari Lundu ke Kuching selepas berkenan merasmikan Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Telok Melano, hari ini.

SULTAN Pahang turut membantu menenangkan mangsa. Foto Facebook Kesultanan Pahang

Setibanya di lokasi, baginda mendapati kemalangan membabitkan sepasang suami isteri yang menaiki sebuah motosikal dengan sebuah kereta dipandu seorang wanita tempatan.

Prihatin dengan keadaan mangsa, baginda segera menitahkan ambulans yang turut bersama konvoi supaya memberikan bantuan sebelum membawa kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan ke Hospital Lundu untuk mendapatkan rawatan.

Dalam keadaan cuaca panas terik, baginda turut berkenan turun daripada kenderaan bagi melihat sendiri keadaan mangsa serta bertanyakan situasi mereka.

MANGSA kemudian dibawa menaiki ambulans yang turut mengiringi konvoi ke Hospital Lundu bagi mendapatkan rawatan. Foto Facebook Kesultanan Pahang

Baginda turut membantu menenangkan mangsa sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kuching.

Tindakan spontan itu memperlihatkan keprihatinan baginda terhadap keselamatan dan kebajikan rakyat, meskipun kejadian berlaku ketika baginda dalam perjalanan pulang selepas menyempurnakan program rasmi di Telok Melano.

Oleh Afiq Sallehi