Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Sultan Brunei tiba untuk lawatan negara ke Malaysia
  • NASIONAL

Sultan Brunei tiba untuk lawatan negara ke Malaysia

Utusan Sarawak 15 hours ago
SULTAN Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim ketika tiba bagi lawatan negara ke Malaysia di Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang hari ini. Turut mengiringi Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil. Foto Bernama

SUBANG: Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berangkat tiba di Malaysia bagi memulakan lawatan negara selama empat hari hingga Khamis atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. 

Pesawat khas membawa Sultan Hassanal Bolkiah bersama delegasi termasuk Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah, menteri-menteri Kabinet serta pegawai kanan kerajaan Brunei mendarat di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada 3.03 petang.

Ketibaan baginda disambut Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil. 

Sejurus mendarat, Sultan Brunei berkenan memeriksa kawalan kehormatan 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) diketuai Kapten Muhammad Asyraf Zulkifli. 

Sultan Hassanal Bolkiah akan diberi sambutan negara di Istana Negara esok, diikuti dengan Kunjungan Menghadap Yang di-Pertuan Agong serta majlis santapan negara yang akan dianjurkan oleh Sultan Ibrahim. 

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan lawatan itu akan disusuli Rundingan Pemimpin Tahunan Malaysia-Brunei (ALC) ke-26.

Sepanjang lawatan itu, Sultan Hassanal Bolkiah turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri sempena ALC ke-26 Rabu ini. 

ALC merupakan mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Brunei, menjadi wadah bagi kedua-dua pemimpin menilai kemajuan kerjasama sedia ada, membincangkan isu berbangkit serta bertukar pandangan mengenai hal serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama.

Lawatan serta mesyuarat tahunan itu mencerminkan hubungan istimewa yang lama terjalin antara Malaysia dan Brunei, sekali gus menegaskan komitmen bersama memperkukuh kerjasama strategik demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat kedua-dua negara. 

Pada 2024, Brunei merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia dalam ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM7.53 bilion (A$D1.77 bilion). 

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, jumlah dagangan Malaysia-Brunei mencecah A$D690 juta (RM3.02 bilion), dengan eksport berjumlah A$D500 juta (RM2.18 bilion) dan import A$D190 juta (RM840 juta).

-Bernama

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: Kerajaan berjaya kurangkan hutang baharu, defisit fiskal terus menyusut – PM Anwar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.