
MIRI: Kebajikan atlet tidak boleh dipandang ringan kerana kejayaan di gelanggang bukan sahaja bergantung kepada latihan semata-mata, malah memerlukan persediaan menyeluruh dari segi fizikal dan mental.
Penegasan itu disuarakan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan II (Pembangunan Usahawan), Datuk Ripin Lamat ketika majlis pelepasan Kontinjen Zon Utara ke Sukan Sarawak (SUKSAR) Siri Keempat 2026 di Stadium Bandaraya Miri hari ini.
Sempena majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM8,000 sebagai suntikan semangat kepada kontinjen berkenaan bagi membantu menampung keperluan tambahan atlet termasuk pemakanan, suplemen tenaga dan urusan logistik.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, pelaburan terhadap kebajikan atlet amat penting bagi memastikan mereka berada pada tahap persediaan terbaik menjelang temasya yang akan berlangsung di Betong, Sri Aman dan Lubok Antu dari Khamis hingga Ahad ini.
Pada masa sama, beliau menggesa atlet agar beraksi dengan disiplin tinggi, kekal fokus serta tidak mudah goyah berdepan tekanan pertandingan, selain menyuarakan keyakinan Zon Utara berupaya muncul juara keseluruhan.
Kontinjen Zon Utara melibatkan seramai 305 anggota, merangkumi 222 atlet bersama pegawai, jurulatih, pengurus pasukan dan urusetia.
Mereka akan bersaing dalam 11 acara sukan di tiga lokasi utama penganjuran.
Majlis pelepasan itu turut menjadi simbol komitmen berterusan dalam memperkasa pembangunan sukan negeri serta menyemarakkan motivasi atlet Zon Utara untuk mengharumkan nama bahagian pada SUKSAR IV 2026.
Oleh Liong Chai Ling