Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • SUKSAR IV 2026 sasar pelapis atlet menuju SUKMA
  • SUKAN

SUKSAR IV 2026 sasar pelapis atlet menuju SUKMA

Utusan Sarawak 7 hours ago
SIDANG MEDIA… Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika sidang media Penganjuran Sukan Sarawak Keempat (SUKSAR IV) 2026,di sini, hari ini. Foto Norman B

PETRA JAYA: Penganjuran Sukan Sarawak Keempat (SUKSAR IV) 2026 di Sri Aman dan Betong disifatkan sebagai platform strategik bagi mencungkil bakat baharu atlet muda negeri ini dalam usaha melahirkan pelapis berpotensi ke peringkat lebih tinggi, khususnya temasya Sukan Malaysia (SUKMA).

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata SUKSAR merupakan kejohanan sukan dwitahunan yang dianjurkan kerajaan Sarawak sebagai sebahagian daripada usaha berterusan membangunkan atlet secara tersusun, sistematik dan mampan.

Menurut beliau, penganjuran SUKSAR IV 2026 bukan sekadar medan pertandingan, malah memberi pendedahan kepada atlet muda Sarawak untuk beraksi dalam suasana berprestasi tinggi bagi menguji keupayaan sebenar dari segi fizikal, mental dan taktikal.

“Melalui temasya ini, atlet muda berpeluang membina pengalaman berharga yang penting dalam persediaan ke SUKMA dan kejohanan peringkat lebih tinggi,” katanya pada sidang media penganjuran SUKSAR IV 2026 di Bangunan Baitulmakmur II di sini, hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa SUKSAR berperanan mengaktifkan persatuan sukan di peringkat zon dan daerah, di samping membangunkan kompetensi pegawai teknikal tempatan secara berterusan bagi memperkukuh ekosistem sukan Sarawak.

Abdul Karim berkata Sarawak meletakkan sasaran jelas untuk mempertahankan kejuaraan keseluruhan pada SUKMA XXII Selangor 2026, sekali gus membuktikan keupayaan atlet negeri ini untuk bersaing secara konsisten di peringkat nasional.

Beliau menegaskan peranan jurulatih dan pegawai sukan amat penting bukan sahaja dari aspek teknikal, malah dalam membentuk disiplin, integriti dan sahsiah atlet bagi melahirkan mentaliti juara yang berdaya tahan.

“Penganjuran SUKSAR IV 2026 di Sri Aman dan Betong juga memberi impak positif kepada komuniti setempat dengan merancakkan ekonomi tempatan, selain menyumbang kepada pembangunan kemudahan dan kepakaran sukan di peringkat akar umbi,” tambahnya.

SUKSAR IV 2026 dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 8 Februari 2026, manakala Sri Aman dan Betong dipilih sebagai tuan rumah bersama.

Temasya ini melibatkan penyertaan seramai 257 atlet daripada empat zon utama iaitu Zon Utara, Zon Tengah, Zon Barat dan Zon Selatan.

Sebanyak 11 jenis sukan akan dipertandingkan dengan tawaran keseluruhan 105 pingat emas, 105 pingat perak dan 135 pingat gangsa, sekali gus menjadikan kejohanan ini medan persaingan yang kompetitif dan bermakna.

Di Bahagian Betong, empat acara dipertandingkan iaitu angkat berat di Dewan Panglima Rentap, berbasikal di Lebuhraya Pan Borneo dan Medan Betong, bola jaring di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan serta taekwondo di SJK (C) Chung Hua.

Sementara itu, Bahagian Sri Aman akan menganjurkan lima acara melibatkan bola keranjang di Stadium Mini MDSA, petanque di Arena Petanque Kompleks Sukan Sri Aman, ping pong di Dewan Suarah Sri Aman, sofbol di Padang Bola Kompleks Sukan Sri Aman dan tinju di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman.

Bagi Daerah Lubok Antu pula, dua acara akan dipertandingkan iaitu sepak takraw di Kompleks Sukan Lubok Antu dan karate di Dewan Besar IPD Lubok Antu.

Oleh Norman B

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Selepas menanti 24 jam, emas 100m T12 kekal milik Malaysia
Next: Sukan Para ASEAN: Atlet Sarawak sumbang tujuh emas, kerajaan negeri kaji insentif prestasi cemerlang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.