

AWANGKU Hafizi pada majlis perjumpaan bersama petinju dan barisan kejurulatihan di Medan Selera Awada, malam tadi. Foto: Adi Safarman
SIMANGGANG: Kelab Tinju Tidal Bore (TBBC) Sri Aman meletakkan sasaran ‘serampang dua mata’ pada temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 apabila bukan sahaja memburu pingat, malah menjadikan kejohanan itu sebagai pentas utama untuk menembusi skuad elit Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor.
Seramai lapan petinju harapan TBBC telah dipilih mewakili Zon Barat merangkumi Sri Aman, Betong dan Sarikei, sekali gus memikul amanah besar untuk membuktikan kemampuan serta kualiti sebenar mereka di gelanggang.
Presiden TBBC Sri Aman, Awangku Hafizi Awang Azahari berkata SUKSAR merupakan medan penentuan penting bagi setiap atlet yang berhasrat melangkah lebih jauh dalam arena tinju kebangsaan, khususnya untuk menarik perhatian panel pemilihan SUKMA.
Menurutnya, setiap petinju perlu mempamerkan tahap disiplin, fokus dan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang kejohanan berlangsung kerana persaingan dijangka sengit dengan kehadiran bakat-bakat terbaik dari seluruh Sarawak.
“Saya mahukan tumpuan 200 peratus ketika bertanding. Jadikan SUKSAR ini sebagai pentas membuktikan kesungguhan dan kematangan anda.
“Misi utama TBBC kini jelas, memastikan ‘tiket’ ke SUKMA 2026 menjadi milik anak jati Sri Aman melalui persembahan cemerlang di pentas SUKSAR IV nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama petinju dan barisan kejurulatihan di Medan Selera Awada, malam tadi.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan tidak hanya bergantung kepada kekuatan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu disokong oleh disiplin tinggi serta pengurusan diri yang baik, termasuk mengekalkan keseimbangan antara sukan dan akademik demi masa depan atlet.
Awangku Hafizi dalam pada itu merakamkan penghargaan terhadap komitmen barisan jurulatih yang disifatkan bekerja keras tanpa mengira masa bagi memastikan tahap prestasi atlet berada pada landasan terbaik menjelang SUKSAR IV.
Katanya, usaha berterusan tersebut kini mula menampakkan hasil apabila berlaku peningkatan ketara dalam kualiti petinju, termasuk dalam kategori wanita yang semakin kompetitif dan berpotensi besar untuk mencipta kejutan.
Majlis tersebut turut dihadiri Setiausaha TBBC Sri Aman, Subhi Ahmad; Ketua Jurulatih Tinju Zon Barat, Kamaruddin Mohamad serta barisan pembantu jurulatih TBBC Sri Aman.
Sementara itu, lapan petinju TBBC Sri Aman yang terpilih ialah Nelson Ningkai Sibat (51kg), Mohd Zulkarnain Iswandy (54kg), Muhd Irfan Mohd Ishak (57kg), Fam Ching Sing (63.5kg), Feinstein Fabrian (67kg), Tristan Aeden Minggu (71kg), Mohamad Azimi Firdaus Saifudin (75kg) serta wakil petinju wanita, Eurenia Jackie (57kg).
Penganjuran SUKSAR IV dijadual berlangsung dari 5 hingga 8 Februari nanti dimana sebanyak 11 sukan akan dipertandingkan melibatkan beberapa lokasi pertandingan di Sri Aman dan Betong.
Oleh Adi Safarman