
SIMANGGANG: Seramai enam petinju dari Kontinjen Zon Barat berjaya menempah slot ke perlawanan akhir acara tinju pada temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 yang sedang berlangsung ketika ini.
Ketua Jurulatih Tinju Zon Barat, Kamaruddin Mohamad melahirkan rasa gembira dan bangga dengan pencapaian barisan atletnya apabila enam daripada 11 petinju yang diturunkan berjaya mara ke pentas final.
Menurutnya, kejayaan tersebut membuktikan tahap persiapan rapi serta disiplin tinggi yang ditampilkan oleh para petinju Zon Barat sepanjang kejohanan berkenaan.

“Tiga petinju lelaki dan tiga petinju wanita Zon Barat telah berjaya ke final. Saya berharap keenam-enam petinju ini mampu menampilkan aksi terbaik dan seterusnya menggondol pingat emas pada perlawanan akhir yang berlangsung petang ini,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak, hari ini.
Kamaruddin berkata, sasaran awal Kontinjen Tinju Zon Barat pada edisi kali ini adalah untuk meraih sekurang-kurangnya tiga pingat emas.
Beliau yakin sasaran tersebut mampu direalisasikan berdasarkan prestasi semasa serta semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh para petinjunya sepanjang saingan berlangsung.
“Kita memang menyasarkan tiga pingat emas. Jika memperoleh lebih daripada itu, ia merupakan satu bonus besar buat kontinjen tinju Zon Barat,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berharap para petinju yang bakal beraksi di perlawanan akhir dapat memberikan persembahan terbaik demi mengharumkan nama Zon Barat yang merangkumi Sri Aman, Betong dan Sarikei.
Kamaruddin turut mengakui impiannya untuk mencipta sejarah dengan muncul juara keseluruhan dalam acara tinju pada SUKSAR IV 2026.
Menurutnya, peluang tersebut terbuka sekiranya Zon Barat berjaya memenangi kesemua enam perlawanan akhir yang disertai dan seterusnya mengutip enam pingat emas.
“Untuk muncul juara keseluruhan, sesebuah kontinjen memerlukan sekurang-kurangnya enam pingat emas daripada 11 acara yang dipertandingkan,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan cabaran sengit yang diberikan oleh petinju dari Zon Selatan yang disifatkan sebagai pencabar utama dalam kejohanan ini.
Katanya, kebanyakan petinju Zon Selatan merupakan atlet berpengalaman yang pernah mewakili Sarawak di pentas Sukan Malaysia (SUKMA), sekali gus menjadikan saingan lebih kompetitif.
Enam petinju Zon Barat yang berjaya mara ke perlawanan akhir ialah Mohd Zulkarnain Iswandy (54kg), Felhzcha Emelda Eiin Linda (48kg), Dayang Faiqah Awang Abu (52kg), Eurinia Jackie Joachim (57kg), Maurice Malcon Uging (63.5kg) dan Ilham Zhafran Al Ghanim Ramlan (75kg).
Oleh Adi Safarman