
BETONG: Temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 secara rasminya membuka tirai hari ini, menyaksikan sebanyak 105 pingat emas, 105 pingat perak dan 135 pingat gangsa akan dipertaruhkan, menjadikan kejohanan dwitahunan itu sebagai medan persaingan yang amat kompetitif dan bermakna dalam melahirkan atlet pelapis negeri.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu, berkata SUKSAR bukan sekadar kejohanan sukan, malah platform strategik bagi pencarian bakat serta pembentukan atlet Sarawak yang holistik dan berdaya saing.
Menurut beliau, melalui SUKSAR, para atlet diuji bukan sahaja dari segi keupayaan fizikal dan teknikal, tetapi turut melibatkan aspek mental, disiplin, daya tahan serta semangat kesukanan dan nilai penting dalam landskap sukan yang semakin mencabar.
“Dalam suasana persaingan hari ini, kita memerlukan atlet yang bukan sahaja cemerlang di gelanggang, tetapi juga berintegriti, berkeyakinan, bermental kental dan mampu mengawal tekanan.
“Nilai-nilai inilah yang ingin diterapkan menerusi penganjuran SUKSAR IV 2026,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian SUKSAR IV 2026 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, hari ini.


Rentap turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) selaku penganjur, dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan negeri khususnya Pejabat Residen Betong dan Pejabat Residen Sri Aman, serta seluruh jawatankuasa pelaksana yang telah bertungkus-lumus menjayakan temasya tersebut.
“Saya amat menghargai komitmen dan kesungguhan semua pihak yang jelas mencerminkan semangat kerjasama serta keprihatinan terhadap pembangunan sukan dan bakat muda Sarawak,” katanya.
SUKSAR IV 2026 akan bermula esok sehingga 8 Februari ini dengan Sri Aman, Betong dan Daerah Lubok Antu dipilih sebagai lokasi pertandingan.
Seramai 773 atlet daripada empat zon utama iaitu Zon Utara (227 atlet), Zon Tengah (171), Zon Barat (164) dan Zon Selatan (211) akan bersaing dalam 11 jenis sukan di pelbagai venue.
Dari sudut pembangunan atlet, beliau menegaskan SUKSAR berperanan sebagai medan penilaian tahap kesiapsiagaan atlet merangkumi kemahiran teknikal, mental, disiplin dan daya tahan.
Para atlet digalakkan memanfaatkan temasya ini untuk membina keyakinan diri, meningkatkan daya saing serta mengumpul pengalaman berharga sebagai persediaan berfasa ke arah SUKMA XXII Selangor 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos tahun ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik; ADUN Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa; Timbalan Pengerusi SUKSAR IV, Datu Richard Micheal Abunawas; Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Dzulkornain Masron dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SSC, Khairul Nizam Morshidi.
Oleh Adi Safarman