

BETONG: Temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 dijadual bermula esok sehingga Ahad ini dengan Bahagian Sri Aman dan Betong dipilih sebagai tuan rumah utama, manakala dua acara sukan akan diadakan di Lubok Antu.
Timbalan Pengerusi SUKSAR IV 2026, Datu Richard Micheal Abunawas berkata, penganjuran edisi keempat temasya sukan dwitahunan itu melibatkan seramai 1,093 peserta merangkumi atlet, pegawai, kakitangan sokongan serta sukarelawan dari seluruh negeri.
Menurut beliau, SUKSAR IV 2026 bakal mempertandingkan sebanyak 11 jenis sukan dengan keseluruhan 345 pingat ditawarkan, melibatkan 105 pingat emas, 105 perak dan 135 gangsa, sekali gus menjadikan temasya ini sebagai medan persaingan yang kompetitif dan berprestij.
“Bagi pengagihan lokasi pertandingan, Sri Aman akan menjadi venue bagi acara bola keranjang, petanque, pingpong, softball dan tinju, manakala Betong menempatkan acara angkat berat, berbasikal, bola jaring dan taekwondo.
“Sementara itu, Lubok Antu pula akan menjadi lokasi bagi acara karate dan sepak takraw,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian SUKSAR IV 2026 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, hari ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu.
Richard turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pentadbiran Bahagian Sri Aman dan Betong, pihak berkuasa tempatan, agensi berkaitan serta komuniti setempat atas komitmen dan sokongan padu dalam menjayakan SUKSAR IV 2026 sebagai tuan rumah.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa penduduk setempat agar hadir beramai-ramai bagi menyaksikan dan memberi sokongan kepada kontinjen masing-masing, sekali gus menyemarakkan semangat para atlet serta memeriahkan temasya berkenaan.
“Kehadiran peserta dari seluruh pelosok negeri bukan sahaja memeriahkan SUKSAR IV 2026, malah memperlihatkan semangat perpaduan dan kebersamaan yang menjadi teras kekuatan Sarawak,” katanya.
Beliau berharap semua atlet dapat bertanding dengan penuh semangat kesukanan, saling menghormati antara satu sama lain serta menjadikan SUKSAR IV 2026 sebagai platform bermakna dalam pembangunan sukan negeri dan pembentukan atlet yang berdisiplin, berintegriti serta berdaya saing tinggi.
Oleh Adi Safarman