
BETONG: Kontinjen Zon Utara melaungkan amaran awal pada temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) Edisi Ke-4 dengan misi utama untuk mengulangi sejarah muncul sebagai juara keseluruhan.
Kejohanan yang dijadualkan berlangsung bermula esok sehingga 8 Februari itu bakal menyaksikan persaingan sengit, namun Zon Utara tampil dengan keyakinan tinggi berdasarkan prestasi semasa para atlet mereka.
Chef De Mission (CDM) Kontinjen Zon Utara, Datu Nyurak Keti menyatakan bahawa persiapan rapi telah dilakukan bagi memastikan kejayaan edisi pertama dapat diulangi semula pada tahun ini.
”Melihat kepada suasana SUKSAR 2026 dan persiapan yang dilakukan, atlet-atlet kita sangat yakin bahawa kita berpeluang besar mengulangi kejayaan edisi pertama dahulu.
“Pencapaian atlet kali ini dilihat jauh lebih baik berbanding edisi sebelum ini,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini.

Bagi merealisasikan impian bergelar juara, beliau menetapkan sasaran berani untuk membawa pulang sekurang-kurangnya 50 pingat emas.
Menurutnya, angka tersebut adalah tanda aras minimum yang diperlukan untuk mengesahkan kedudukan sebagai juara keseluruhan kejohanan.
Zon Utara mempertaruhkan seramai 257 ahli kontinjen yang terdiri daripada 219 atlet gabungan bakat muda dari Miri, Bintulu, dan Limbang, 38 pegawai termasuk jurulatih dan pengurus pasukan.
SUKSAR Edisi Ke-4 kali ini mempertandingkan sebanyak 11 jenis sukan yang menawarkan keseluruhan 105 pingat emas iaitu angkat berat, berbasikal, bola jaring, taekwondo, bola keranjang, petanque, pingpong, sofbol, tinju, sepak takraw dan karate.
Temasya ini merupakan platform utama bagi mencungkil bakat-bakat baharu di Sarawak sebelum diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi seperti Sukan Malaysia (SUKMA).
Oleh Adi Safarman