BETONG: Kerajaan Sarawak tidak akan menanggung kos pengangkutan atlet dari negeri-negeri lain untuk berentap dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, kos pengangkutan atlet adalah tanggungjawab negeri masing-masing, bukannya mengharapkan Sarawak selaku tuan rumah untuk menanggungnya.
“Sebelum ini, Sarawak tidak pernah meminta mana-mana negeri untuk menanggung kos pengangkutan dan kos-kos lain ketika SUKMA diadakan di luar negeri Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan sesi lawatan ke lokasi kejohanan angkat berat SUKMA XXI Sarawak 2024 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di sini hari ini.
Beliau mengulas permintaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar Sarawak menanggung sebahagian kos untuk menghantar kontinjen Kedah ke SUKMA di negeri ini.
Menurut Sanusi, kos untuk menyertai SUKMA kali ini agak tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya, termasuk harga tiket perjalanan dan pengangkutan peralatan, selain kontinjen Kedah perlu membawa beberapa kontena peralatan ke Sarawak.
Gerald yang juga ‘Chef De Mission’ kontinjen SUKMA Sarawak berkata, kerajaan Sarawak telah mengeluarkan dana yang besar untuk menaik taraf venue SUKMA 2024 serta keperluan-keperluan yang lain.
“Kita telah menyediakan fasiliti dan kita telah menggunakan belanja negeri sendiri untuk membaik pulih, membina dan juga menganjurkan SUKMA kali ini.
“Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan hanya memberi RM50 juta sahaja kepada Sarawak, namun kita akan membuat yang terbaik dengan bajet yang kita ada untuk anjur SUKMA,” katanya.