SEMPENA temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang diadakan di Sarawak, wacana kali ini cuba menyingkap bagaimana sukan ini bermula. Tambahan daripada itu wacana ini juga cuba melihat bagaimana penyertaan dan prestasi Sarawak dalam sukan tersebut.
Jika dilihat dari segi sejarahnya, sukan yang melibatkan semua negeri di Malaysia ini boleh dilihat dalam sukan bola sepak.
Hal ini boleh disaksikan dengan wujudnya Liga Super Malaysia yang berkembang dari Liga Malaysia. Liga ini menghimpunkan semua negeri di Malaysia termasuk pasukan bola sepak tentera untuk merebut Piala Malaysia.
Namun demikian sukan melibatkan semua negeri untuk semua sukan tertentu hanya muncul pada 1986 apabila wujudnya SUKMA. Selain semua negeri di Malaysia menyertai sukan ini, SUKMA ini juga pernah memberi peluang kepada pasukan Angkatan Tentera, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Universiti menyertai sukan tersebut. Pada edisi keenam di Pahang, terdapat jemputan kepada pasukan dari Brunei. Tahun yang sama Labuan menyertai sukan tersebut.
MATLAMAT
Tujuan mewujudkan SUKMA ini adalah untuk mengukuhkan perpaduan masyarakat dan mengeratkan integrasi nasional. Tambahan daripada itu SUKMA juga menjadi medan penting untuk mencari bakat-bakat baharu dalam bidang sukan negara. Atas sebab itu SUKMA memberi peluang kepada golongan remaja untuk menyertainya.
SUKMA ini dikendalikan dibawah Majlis Sukan Negara Malaysia dengan kerjasama Majlis Olimpik Malaysia, Persatuan Sukan Kebangsaan dan kerajaan negeri. Pada awalnya SUKMA dianjurkan setiap dua tahun sekali.
Pada 2010 pula SUKMA telah dianjurkan setiap setahun sekali. Cadangan ini datang daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek ketika itu. Katanya, SUKMA akan digabungkan dengan Sukan Mini Olimpik. Pada 2015 SUKMA yang dianjurkan setahun sekali telah dihentikan. LIni kerana penganjuran SUKMA setahun sekali melibatkan kos tinggi. Akhirnya SUKMA dianjurkan sebagai sukan dwitahunan.
PERTAMA
Dari segi penganjurannya, Kuala Lumpur menjadi tuan rumah pertama yang berlangsung pada 1986. Kuala Lumpur sekali lagi menjadi tuan rumah bagi sukan tersebut pada 1988.
Bermula pada edisi ketiga, SUKMA dianjurkan di luar Kuala Lumpur. Dari 1986 ini sehingga 2024 semua negeri di Malaysia kecuali Kelantan telah menganjurkan sukan tersebut.
Daripada tahun awal diadakan sukan ini, ia telah dianjurkan sebanyak 21 kali termasuk pada tahun ini. SUKMA ini juga tidak sunyi daripada cabaran yang mendatang. Apabila munculnya wabak Covid-19 pada 2020 di Malaysia, SUKMA turut terhenti. Ia hanya dapat dianjurkan semula selang empat tahun dari penganjuran SUKMA di Perak pada 2018.
JUARA
Sarawak telah menyertai SUKMA sejak edisi pertama kalinya di Kuala Lumpur. Penyertaan pertama dalam SUKMA edisi pertama ini menunjukkan prestasi Sarawak pada tahap yang baik. Walaupun Sarawak tidak menduduki tempat pertama pada edisi itu, tetapi Sarawak mampu menempatkan dirinya di tempat ketiga terbaik. Ketika itu Kuala Lumpur menduduki tempat pertama, diikuti Selangor.
SUKMA edisi kedua ini pula menyaksikan Sarawak melonjak naik ke kedudukan kedua. Edisi kedua yang diadakan di Kuala Lumpur menyaksikan Sarawak bersaing hebat dengan tuan rumah, Selangor dan Pulau Pinang. Selangor menunjukkan kekuatan mereka pada edisi kedua ini dengan menduduki tempat pertama.
PENGANJURAN
Sarawak merupakan negeri pertama yang menjadi tuan rumah SUKMA di luar Kuala Lumpur pada SUKMA edisi ketiga (1990). SUKMA menjadi satu fenomena yang cukup meriah di Sarawak ketika itu. Semangat rakyat Sarawak dan ahli sukannya juga amat tinggi. Ketika itu pencapaian seorang atlik renang Sarawak iaitu Tania Bugo menghiasi dada-dada akhbar di peringkat kebangsaan dan negeri. Ini kerana pencapaian beliau yang mengkagumkan dengan memenangi 13 emas. Beliau telah dinobatkan sebagai Olahragawati SUKMA Sarawak edisi ke-3 1990.
Sensasi pencapaian beliau ini menjadi satu kenangan manis dalam SUKMA di Sarawak. Ahli sukan lain di Sarawak juga menunjukkan prestasi yang amat baik dan cemerlang. Kehebatan Tania membantu Sarawak menjadi juara keseluruhan kali pertama pada tahun 1990.
HATRIK
Pencapaian Sarawak dalam SUKMA ini terus cemerlang apabila ia sekali lagi menjadi juara keseluruhan pada SUKMA edisi keempat yang diadakan di Johor. Ketika itu tuan rumah menjadi persaing rapat kepada Sarawak selain Selangor.
Pada SUKMA edisi kelima di Perak pula, Sarawak masih mengungguli tempat pertama dalam sukan tersebut.
Kejayaan ini membuat Sarawak mencapai hatrik dalam mengungguli juara keseluruhannya. Hanya pada SUKMA di Pahang, Sarawak menduduki tempat kedua apabila kontinjen Selangor mengungguli tempat pertama. Selepas itu kedudukan Sarawak tidak lagi mengungguli kedudukan pertama.
SAINGAN
Sarawak terpaksa bersaing dengan Selangor dan tuan rumah dalam setiap edisi SUKMA yang dianjurkan. Negeri lain seperti Terengganu mula bangkit pada SUKMA edisi ke-12 di Terengganu, manakala negeri-negeri lain yang pernah menjuarai keseluruhan SUKMA pula adalah Johor dan Kuala Lumpur. Sarawak cuba bangkit pada SUKMA edisi ke-18 semasa ia berlangsung di Sarawak tetapi terpaksa akur pada Selangor.
Sarawak pada edisi ke-18 ini hanya menduduki tempat kedua. Peluang Sarawak untuk menjadi juara sekali lagi terbuka pada SUKMA edisi ke-21 ini. Ini kerana Sarawak sekali lagi terpilih menjadi tuan rumah SUKMA. Saingan utama Sarawak datang dari Selangor yang mempunyai atlet yang cukup hebat. Namun demikian kita mengharapkan agar muncul semangat sukan yang tinggi dalam kalangan atlet yang datang dan menyertai SUKMA kali ini. Apa yang penting adalah SUKMA akan menjadi landasan utama untuk negara kita melahirkan jaguh sukan peringkat dunia terutama dalam Sukan Olimpikyang akan diadakan di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2028.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa (SPHEA), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).