KOTA SAMARAHAN: Beberapa acara dalam sukan taekwando, angkat berat dan muay thai yang dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 Sarawak 2024 mungkin digugurkan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, ia susulan acara terbabit kurang mendapat penyertaan.
“Saya akan berhubung dengan sekretariat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memastikan ia mencapai sasaran penyertaan.
“Selaku tuan rumah SUKMA 2024, Sarawak sedia ‘meminjamkan’ atletnya kepada negeri lain bagi mengatasi masalah kekurangan penyertaan pada temasya itu demi pembangunan sukan negara.
“Sepatutnya pada hari ini iaitu petang nanti saya akan berhubung dengan sekretariat MSN dan presiden, exco persatuan, Pengarah MSN negeri ini bertujuan untuk membantu mereka pinjamkan atlet kerana kita sudah memuktamadkan 488 acara.
“Kita tengoklah apa yang kita ada kerana kita pun ada atlet yang lebih dan sebenarnya mereka pun ada atlet kerana senarai penyertaan yang berdaftar dulu membuatkan kita memuktamadkan 488 acara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa mengadakan lawatan ke Stadium Tertutup Kota Samarahan, hari ini.
Katanya, jika acara-acara ini digugurkan, ia mungkin akan menghampakan hasrat kontinjen Sarawak.
“Kita sudah mempunyai barisan atlet dalam kesemua 488 acara sukan ini bermakna kita mempunyai peluang 50 peratus untuk menang,” katanya.
Menyentuh mengenai persiapan terkini naik taraf fasiliti sedia ada, Chef De Mission (CDM) Kontinjen SUKMA Sarawak itu berharap ia akan dipercepatkan dan kemungkinan ada yang lambat sedikit berikutan faktor cuaca.