IPOH: Kehadiran ibu bapa menjadi pembakar semangat buat Qistina Qharisya Suffia Mohd Muzani untuk merangkul emas dalam acara angkat berat di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Sarawak berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.
Qistina Qharisya menjelaskan pengorbanan kedua-dua tersayang yang mengeluarkan wang simpanan ke Sarawak semata-mata untuk melihat dirinya beraksi tidak mahu disia-siakan selain hanya membalasnya dengan menggenggam emas.
“Tanpa restu dan doa daripada mereka, saya tidak akan sampai ke tahap seumpama ini dan sudah pasti saya tekad untuk membalas pengorbanan yang mereka lakukan untuk meraih emas.
“Saya juga mahu kibarkan bendera Perak di Bumi Kenyalang pada edisi kali ini selepas hanya berjaya menang pingat perak pada penampilan pertama di SUKMA Kuala Lumpur, dua tahun lepas,” katanya ketika ditemui Bernama di Pusat Latihan Angkat Berat, Seladang Cage di sini, baru-baru ini.
Qistina Qharisya berkata peluang untuk meraih emas bagi kategori 45 kilogram (kg) amat cerah selepas penyandangnya Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri yang mewakili Terengganu tidak lagi mengambil bahagian kerana telah melebihi had umur.
“Peluang itu nampak cerah tetapi kena kerja keras dan tiada jalan pintas. Atlet dari Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu juga antara yang dilihat mampu memberi cabaran kepada saya di Sarawak nanti,” kata Qistina Qharisya.
Atlet kelahiran Ipoh itu berkata persiapan yang dilakukan berjalan lancar dan penumpuannya ketika ini lebih terarah kepada pengukuhan kekuatan tubuh badan membabitkan tangan, kaki serta perut.
“Saya mula menjalani latihan sepenuh masa selepas pulang dari SUKMA di Kuala Lumpur. Setiap hari saya akan peruntukan masa selama lima jam untuk jalani latihan yang telah disusun oleh jurulatih, selebihnya saya buat sendiri untuk latihan tambahan,” katanya.
Sementara itu, jurulatih angkat berat Perak Muhammad Amir Muhamad Nadzir berkata, beliau percaya sasaran pingat emas diletakkan di bahu Qistina Qharisya dapat dicapai berdasarkan prestasi semasa yang ditampilkan bekas pelajar Methodist Girl School (MGS) Ipoh.
“Berbekalkan prestasi dari beberapa kejohanan yang disertai sejak awal tahun ini, ditambah dengan kedudukan ranking pertama dalam kategori 45kg, saya fikir Qistina mampu menyumbang emas kepada negeri Perak,” katanya.
Mengulas mengenai sasaran pingat, jurulatih kelahiran Ipoh berusia 36 tahun itu berkata satu pingat emas serta dua pingat pelbagai warna dijangka mampu ‘dituai’ pada edisi kali ini.
Muhammad Amir berkata, tujuh atlet berusia 15 hingga 21 tahun akan membawa cabaran Perak dalam tujuh acara membabitkan kategori 45kg, 49kg, 55kg, 64kg, 89kg, 96kg dan melebihi 96kg.
“Daripada 16 acara yang dipertandingkan, kita akan menyertai empat acara lelaki membabitkan kategori 55kg, 89kg, 96kg dan melebihi 96kg, manakala bagi wanita pula membabitkan kategori 45kg, 49kg serta 64kg.
“Bagi saya, sasaran yang ditetapkan ini mampu dicapai. Ini kerana persediaan rapi telah kita lakukan sejak dua tahun lepas ditambah dengan sokongan Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak dari aspek sains sukan meliputi hal pemakanan, kemudahan, rawatan serta psikologi,” katanya.
Selain itu, Muhammad Amir berkata, beliau mengharapkan anak didiknya akan terus menampilkan aksi terbaik bagi memastikan sasaran serta kejutan dapat dilakar kali ini di Bumi Kenyalang.
“Saya mahu mereka ingat, banyak pengorbanan telah diharungi sebelum ini dan hanya dengan kejayaan pingat mampu membalas segalanya. Kami sebagai jurulatih terus memberikan sokongan namun kemahuan (kejayaan) itu datangnya daripada diri mereka sendiri,” katanya. – Bernama