PERSATUAN sukan kebangsaan secara amnya bersetuju dengan keputusan untuk membatalkan dan menangguhkan temasya Sukan Malaysia ke-20 (SUKMA) dan Para SUKMA ke tahun 2022, namun menzahirkan kebimbangan terhadap beberapa aspek seperti had umur atlet.
Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Tertinggi SUKMA semalam untuk menangguhkan temasya sukan itu sebagai tindakan bijak, berikutan peningkatan jumlah kes Covid-19 dalam negara.
“KRM menyokong keputusan itu kerana kebajikan pemain adalah faktor terpenting. Kita tahu bagaimana perasaan atlet, mereka mungkin sedih selepas gigih berlatih selama beberapa tahun tetapi untuk meneruskan temasya itu dalam situasi sekarang, ia akan menjadi risiko besar,” katanya.
Shahrul, yang sedia maklum bahawa Majlis Sukan Negara (MSN) dan Jawatankuasa Teknikal SUKMA dan Para SUKMA akan meneliti beberapa aspek seperti had umur dan kelayakan berkata, KRM akan memutuskan perkara berkenaan selepas mesyuarat Exco tidak lama lagi.
“MSN sedang meneliti rayuan yang dibuat oleh beberapa persatuan sukan kebangsaan untuk membenarkan atlet yang telah berdaftar untuk bertanding dalam SUKMA tanpa mengira had umur memandangkan mereka akan bertambah usia pada ketika itu.
“Kami akan membuat keputusan sama ada akan menghantar rayuan berkaitan isu itu selepas mesyuarat akan datang kerana kami juga perlu mendapatkan maklum balas daripada ahli gabungan kami,” tambah beliau.
Had umur untuk penyertaan SUKMA adalah 21 tahun ke bawah, namun terdapat acara sukan seperti gimnastik yang menetapkan had umur 15 tahun ke bawah.
Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan Datuk Reezal Merican Naina Merican mengumumkan penangguhan temasya sukan itu berikutan penularan pandemik Covid-19 dan mengesahkan bahawa Johor akan menjadi tuan rumah temasya SUKMA dan Para SUKMA pada 2022 tanpa ada perubahan dalam jumlah sukan dan acara yang akan dipertandingkan.
Temasya SUKMA Johor sepatutnya diadakan pada 6 hingga14 Mac tahun ini tetapi ditangguhkan kepada 11 hingga 19 Julai, sebelum dijadualkan semula sekali lagi kepada 2 hingga 10 April tahun depan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Renang Malaysia Mae Chen, juga bersetuju dengan keputusan untuk menangguhkan temasya sukan itu dengan memberi pertimbangan kepada keadaan pandemik sekarang ini, yang menurutnya, menimbulkan ketidakpastian dalam sukan, baik dari segi latihan, pertandingan, pemilihan serta kepada jurulatih, atlet dan pasukan secara keseluruhan.
“Bagaimanapun, terdapat beberapa isu berkaitan teknikal dan keputusan yang dibuat dan saya mencadangkan kepada Menteri dan Kementerian Belia dan Sukan untuk melihat beberapa faktor seperti usia atlet, yang mana umur mereka bertambah dua tahun pada 2022 nanti.
“Bermula dengan Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 ia akan menimbulkan isu apabila atlet akan bertanding di sana dahulu dan kemudiannya SUKMA 2022, ia tidak adil. Bukan hanya atlet akan bertambah dua tahun usia mereka, tetapi juga melayakkan diri terlebih dahulu ke Olimpik. Sepatutnya, mereka perlu menyertai SUKMA dahulu dan memenangi pingat sebelum ke Olimpik,” katanya.
Timbalan Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) Datuk Michael Wong, sependapat dalam perkara itu dan dalam satu kenyataan beliau menggesa pihak yang berkaitan untuk menambah had umur kelayakan SUKMA 2022 kepada bawah 23 tahun.
“Ini kerana atlet telah bekerja keras dalam mempersiapkan diri untuk SUKMA 2020 dan jika penyertaan mereka dibatalkan disebabkan had umur, ini tidak adil kepada mereka,” katanya.
Menurut Wong, Jawatankuasa Induk MASCA akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi untuk merancang penganjuran kejohanan bagi atlet-atlet SUKMA seperti kejohanan Pra-SUKMA, kelayakan Sukan SEA 2021 dan Sukan Asia 2022 di Kompleks Sukan Kanu Johor, Tasik Rekreasi Edu Hub, Pagoh.-Bernama