CHERYL LAW
KUCHING: Sarawak Multimedia Authority (SMA) berperanan sebagai penggerak digital ekonomi sentiasa menyokong inisiatif digital daripada rakyat Sarawak.
Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), SMA melalui Unit Digital Village menyatukan komuniti pembuat di Sarawak untuk memenuhi niat mereka dalam membantu petugas barisan hadapan menangani wabak Covid-19.
Komuniti pembuat sedang bekerjasama membuat pelindung muka menggunakan Pencetak 3D dan pemotong laser.
Alat pelindung diri atau Personal Protective Equipment (PPE) seperti pelindung muka itu penting untuk melindungi petugas barisan hadapan dan sebagai langkah untuk mematuhi protokol perlindungan daripada sebarang jangkitan.
Komuniti pembuat itu terdiri daripada pelbagai organisasi seperti Startups, Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME), Social Enterprise (SE), Pendidik STEM, Badan bukan Kerajaan (NGOs) dan individu dari seluruh Sarawak.
Dengan kekuatan lebih seratus sukarelawan membuat PPE di rumah mereka sendiri, mereka menyasarkan untuk menghasilkan sebanyak 10,000 unit PPE dalam jangka masa terdekat.
Di samping itu, komuniti pembuat juga dalam usaha untuk menghasilkan alat bantuan pengaliran udara dan kotak perlindungan intubasi untuk anestetik. Selain itu, mereka juga mengumpul sumbangan untuk membekalkan petugas barisan hadapan dengan sarung tangan, topeng N95 dan termos.
Pengurus Besar SMA, Dr Zaidi Razak berkata, sebagai pemain utama dalam ekosistem Ekonomi Digital, SMA bangga dengan semangat sukarelawan di kalangan masyarakat dalam membantu menangani krisis ini.
“Mereka berupaya melaksanakan inisiatif ini dengan menggunakan teknologi bagi membantu petugas barisan hadapan menghadapi Covid-19.
“Usaha ini membuktikan pentingnya akses kepada teknologi digital dan pendidikan, seterusnya dapat membantu masyarakat dan negara secara keseluruhan,” katanya.