MIRI: Tidak hanya tertumpu kepada misi kemanusiaan, sukarelawan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Miri turut turun padang menjaga kelestarian alam sekitar menerusi aktiviti penyelenggaraan kawasan penanaman pokok di Rizab Alam Semula Jadi Piasau (PNR), di sini.
Aktiviti yang berlangsung Sabtu lalu itu disertai 11 sukarelawan BSMM bersama empat kakitangan PNR bagi memastikan kawasan penanaman pokok sentiasa bersih, terurus dan sesuai untuk pertumbuhan pokok.
Program anjuran Pasukan Bantuan Sukarela (PBS) Unit No. 43 bersama Ahli Jawatankuasa PBS BSMM Daerah Miri itu turut melibatkan kerja-kerja memotong rumput dan tumbuhan liar, membaja pokok serta membersihkan kawasan sekitar tanaman.

Kawasan berkenaan sebelum ini ditanam oleh MRC Volunteer, manakala penyelenggaraan secara berterusan dilakukan bagi memastikan pokok yang ditanam terus mendapat penjagaan sewajarnya.
Aktiviti berkenaan membuktikan komitmen sukarelawan BSMM dalam menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar, selain melaksanakan tanggungjawab kemanusiaan dan khidmat kepada masyarakat.
Kerjasama antara BSMM dan PNR juga dilihat mampu memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara kawasan hijau, selain menggalakkan budaya kesukarelawanan dan kerja berpasukan.
Oleh Liong Chai Ling





