
BINTANGOR: Semangat kekeluargaan dan kebersamaan dalam kalangan warga bomba diperkukuh menerusi penganjuran sukaneka sempena Hari Keluarga Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor 2025.
Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata program tersebut dianjurkan bagi merapatkan silaturahim serta mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan pegawai, anggota dan ahli keluarga warga BBP Bintangor.



SUKANEKA….Antara aktiviti sukaneka yang dijalankan oleh warga BBP Bintangor. Foto BBP Bintangor
“Penganjuran Hari Keluarga ini bertujuan merapatkan silaturahim dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dalam kalangan warga BBP Bintangor, selain mewujudkan suasana kerja yang harmoni.
“Ia dijalankan di padang Kawad BBP Bintangor pada Sabtu lalu,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, kehadiran penyelia serta anggota BBP Bintangor bersama ahli keluarga masing-masing telah memeriahkan lagi aktiviti sukaneka yang dianjurkan.


SUKANEKA….Antara aktiviti sukaneka yang dijalankan oleh warga BBP Bintangor. Foto BBP Bintangor
“Aktiviti dimulakan dengan senamrobik sebelum diteruskan dengan pelbagai acara sukaneka yang melibatkan penyertaan kategori dewasa dan kanak-kanak.
“Sebanyak enam acara sukaneka dipertandingkan melibatkan kategori dewasa dan kanak-kanak dan sambutan yang diterima amat menggalakkan.
“Keseluruhan aktiviti sukaneka tersebut telah berjalan dengan lancar dan jayanya, sekali gus mencerminkan keakraban serta semangat kekeluargaan yang utuh dalam kalangan warga BBP Bintangor,” katanya.
Oleh Earl Anek