
LAWAS: Persatuan Tarik Tali Sarawak telah mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Menteri Belia, Sukan & Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu di pejabat beliau, semalam.
Presiden Persatuan Tarik Tali Sarawak, Steve Lius ketika dihubungi berkata, kunjungan tersebut bertujuan memperkenalkan persatuan itu serta barisan jawatankuasa induknya.
“Kami memperkenalkan barisan exco dan pada masa yang sama berpeluang mendengar pandangan serta nasihat daripada Dato Gerald Rentap, yang menyambut baik kehadiran kami.
“Beliau turut menitipkan nasihat agar persatuan ini diurus dengan baik serta dijadikan sebagai landasan untuk menyatukan semua persatuan tarik tali yang wujud di Sarawak,” katanya kepada Utusan Sarawak.
Menurut Steve, pihaknya juga komited untuk bekerjasama dengan semua persatuan tarik tali di peringkat akar umbi sebagai saluran penghubung antara komuniti sukan tradisional itu dan kerajaan.
“Kami mahu menjalinkan kerjasama dengan semua kerana hakikatnya terdapat banyak persatuan di peringkat tempatan. Melalui penyatuan dan komunikasi yang teratur, kita boleh membawa suara bersama ke peringkat kerajaan.
“Apabila kita bersatu, usaha memartabatkan sukan tarik tali sebagai warisan budaya dan sukan rakyat akan lebih berkesan dan dihormati,” tambah beliau.
Turut hadir, Penasihat Persatuan Tarik Tali Sarawak yang juga Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa.
Oleh Adeng Edrus