
BEKENU: Penguasaan Bahasa Inggeris dan kemahiran berinteraksi dalam pelbagai situasi merupakan elemen penting yang perlu dikuasai oleh pelajar bagi menghadapi cabaran dunia global yang semakin mencabar.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus berkata, pendidikan wajib sehingga Tingkatan Lima adalah peluang yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak Sarawak.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Sukan Tahunan 2025 Sekolah Kebangsaan (SK) Beliau Isa, di sini hari ini.
Menurut Rosey, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan oleh kerajaan negeri bagi menyokong pendidikan anak-anak Sarawak, termasuk pendidikan percuma untuk kursus berasaskan keperluan semasa seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), serta pemberian insentif khas RM1,200 setahun kepada pelajar yang layak.
“Untuk berjaya dalam hidup, murid-murid perlu menjauhi gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah dan sentiasa menghormati guru, ibu bapa serta orang yang lebih tua,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa atas kerjasama berterusan dengan pihak sekolah, termasuk dalam menyokong usaha penubuhan sekolah antarabangsa di Beraya.
Mengulas mengenai penganjuran sukan tahunan itu, beliau berkata acara yang disertai murid, guru dan ibu bapa berlangsung dengan penuh kemeriahan dan menjadi platform terbaik menyemai semangat kesukanan serta nilai murni dalam kalangan murid.
“Sukan seperti ini bukan sahaja menceriakan suasana, tetapi berfungsi sebagai pendidikan tidak formal yang membentuk disiplin, tanggungjawab dan jati diri anak-anak Sarawak,” ujarnya.
Antara acara menarik yang mendapat perhatian ialah pertandingan perbarisan, yang menyerlahkan semangat dan kreativiti para peserta.
Sebagai penghargaan, hadiah wang tunai turut disampaikan kepada para pemenang, dengan johan menerima RM200, naib johan RM180, tempat ketiga RM150, dan tempat keempat RM100.
Oleh Adum Liu