
BANGKOK: Atlet karate wanita negara, Zakiah Adnan meraih pingat gangsa acara kumite wanita kategori bawah 68 kilogram (kg) pada Sukan SEA 2025 di Kompleks Kerajaan Chaeng Watthana di sini hari ini.
Atlet berusia 22 tahun itu pada awalnya mara hingga ke peringkat suku akhir sebelum tewas, namun kembali diberi peluang bersaing menerusi pusingan repechage bagi penentuan pingat gangsa.
Zakiah tidak mensia-siakan peluang berkenaan apabila bangkit menewaskan wakil Myanmar, Ei Ei Moe, 9-6 untuk mengesahkan pingat gangsa miliknya.



“Saya memang berpuas hati kerana sepanjang tahun ini saya sering berdepan kecederaan sejak awal musim hingga kejohanan Persekutuan Karate Dunia (WKF).
“Walaupun masih belum pulih sepenuhnya, semua pengorbanan dan teguran jurulatih akhirnya berbaloi,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Setakat ini, kem karate negara mengumpul dua pingat emas, satu perak dan empat gangsa secara keseluruhan.- Bernama