
BANGKOK: Skuad hoki lelaki negara hanya selangkah lagi untuk mempertahankan pingat emas buat kali ke-17 berturut-turut selepas membelasah Singapura 12-2 dalam aksi separuh akhir Sukan SEA Thailand 2025 di Chonburi, hari ini.
Dua pemain iaitu pemain pertahanan Syed Mohammad Syafiq Syed Cholan dan penyerang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menjadi tumpuan utama apabila masing-masing meledak hatrik buat “Speedy Tigers” dalam perlawanan yang berlangsung di Universiti Sukan Kebangsaan Thailand tersebut.
Kesemua tiga jaringan Syed Syafiq berpunca daripada pukulan sudut penalti pada minit ke-15, ke-32 dan ke-36, manakala Muhammad Azrai Aizad pula menyumbat gol padang pada minit ke-16, ke-22 dan ke-31.
Tonggak tengah Mohd Fitri Saari memulakan pesta jaringan Malaysia pada minit ketujuh menerusi jaringan padang manakala lima pemain lagi turut tidak ketinggalan mencetak nama selaku penjaring iaitu Muhammad Amirul Hamizan Azahar (ke-11), Nik Aiman Nik Rozemi (ke-21), Amanraj Singh (ke-41), Norsyafiq Sumantri (ke-59) dan Shello Silverius (ke-60).
Dua gol Singapura pula disumbangkan oleh Yap Wee Lee pada minit ke-54 dan Zaki Zulkarnain, selang empat minit kemudian.
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Sarjit Singh berpuas hati dengan aksi bertenaga diperagakan anak buahnya menentang Singapura.
“Bagi perlawanan akhir esok, kita perlu tamatkan permainan secepat mungkin. Lagi cepat kita menjaringkan gol, lagi baik. Kita perlu cipta peluang dan dapatkan gol,” katanya.
Sementara itu, Thailand mengesahkan slot ke final dengan menafikan saingan Indonesia 4-3 menerusi penentuan pukulan penalti, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa sebenar perlawanan.
Malaysia telah memenangi pingat emas sebanyak 17 kali sejak hoki pertama kali dipertandingkan pada edisi 1971 dan hanya sekali muncul naib juara pada edisi 1973.
Temasya Sukan SEA Thailand 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Disember ini melibatkan dua wilayah iaitu Bangkok dan Chonburi.- Bernama