
BANGKOK: Mendengar lagu Negaraku berkumandang di Gimnasium 4, Kampus Rangsit Universiti Thammasat di Pathum Thani satu detik yang menjadikan setiap titisan peluh berbaloi buat pemain beregu wanita utama negara Pearly Tan pada Sukan SEA 2025.
Pearly dan pasangannya M. Thinaah diuji hingga ke tahap maksimum dalam perlawanan mendebarkan selama 86 minit sebelum pilihan utama itu akhirnya menundukkan gandingan Indonesia Febriana Dwipuji Kusuma–Meilysa Trias Puspitasari 21-16, 19-21, 21-17 untuk merangkul pingat emas.
Pemain berusia 25 tahun itu mengakui beban emosi perlawanan akhir yang mencemaskan hanya benar-benar dirasai selepas mata terakhir dimenangi.
“Saya rasa hampir menangis. Saya terlalu letih (menjelang penghujung perlawanan) dan sangat-sangat gembira dapat mendengar lagu Negaraku.
“Saya tak percaya dapat mata dengan cepat sebab sebelum ini bergelut untuk dapatkan mata (set ketiga selepas ketinggalan 12-16). Akhirnya menjadi 20-17, saya tahu itu mata terakhir dan tiba-tiba saya melakukan pukulan kencang dan seperti tidak percaya sebab dapat mata,” katanya selepas majlis penyampaian pingat.

Pearly turut berharap kejayaan mereka akan memberi inspirasi kepada pemain remaja untuk mengimpikan emas Sukan SEA dalam acara beregu wanita.
Sementara itu, Thinaah berkata beliau lega dapat menyumbangkan emas buat Malaysia, terutama dengan beban jangkaan yang diletakkan di bahu mereka pada penampilan sulung Sukan SEA.
Beliau mengakui tekanan amat besar apabila banyak orang mengharapkan emas daripada mereka, namun berkata pasangan itu berbangga dapat menyahut cabaran dan menggembirakan negara.
Ketua jurulatih beregu wanita negara Rosman Razak berkata beliau gembira dapat membimbing pasangan beregu wanita ketiga Malaysia meraih emas Sukan SEA, mengulangi kejayaan Vivian Hoo-Woon Khe Wei pada 2013 serta Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho pada 2015.
“Sukan SEA sentiasa berkaitan dengan negara, bukan seperti kejohanan-kejohanan biasa. Saya benar-benar gembira kerana perasaannya berbeza jika dibandingkan dengan kejayaan kejohanan lain,” katanya.
Sukan SEA 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Disember di dua wilayah di Bangkok dan Chonburi.
–Bernama