
KUALA LUMPUR: Keputusan menghantar barisan pemain bintang ke Sukan SEA 2025 di Thailand yang berlangsung dari 9 hingga 20 Disember dibuat demi maruah badminton negara, kata Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia Datuk Kenny Goh.
Kenny yang juga Timbalan Ketua Kontinjen Sukan SEA 2025 berkata keputusan itu diputuskan jurulatih hasil perbincangan panjang lebar yang dilakukan sebelum ini.
“Kebetulan tiada kejohanan yang besar tahun ini (dan) kami rasa ini satu-satunya cara atau peluang kepada kita mendapat keputusan yang baik untuk Malaysia, yang juga melibatkan maruah negara.
“Jadi, kami rasa ini masa sesuai untuk kita menghantar pasukan paling kuat,” katanya ketika ditemui sewaktu kunjungan ke venue latihan terjun bersama Ketua Kontinjen (CDM) Nurul Huda Abdullah di sini semalam.
Dalam pada itu, Kenny berkata pemain badminton negara yang tersenarai ke Sukan SEA 2025 tidak berdepan masalah sekiranya layak beraksi pada Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tahun ini di Hangzhou, China dari 17 hingga 20 Disember.
Ini kerana acara badminton pada Sukan SEA 2025 bermula lebih awal iaitu 7 Disember, dua hari sebelum upacara pembukaan dan dijadualkan berakhir pada 15 Disember.
“Saya rasa kami mempunyai masa yang cukup untuk membuat sebarang perancangan logistik diperlukan untuk ke Hangzhou,” katanya.
Mengikut format Jelajah Dunia Akhir BWF, hanya lapan pemain perseorangan dan beregu terbaik dalam ranking kelayakan layak beraksi pada kejohanan berkenaan, dengan maksimum dua wakil dari satu negara bagi setiap kategori.
Berdasarkan ranking Jelajah Dunia Akhir BWF 2025, terdapat empat wakil tersenarai ke Sukan SEA 2025 yang menghuni kedudukan lapan teratas iaitu beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun, beregu wanita Pearly Tan-M.Thinaah serta beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Selain empat wakil tersebut, Malaysia turut menaruh kepercayaan kepada perseorangan lelaki Leong Jun Hao dan Justin Hoh, perseorangan wanita K. Letshanaa dan Wong Ling Ching, beregu wanita Go Pei Kee-Teoh Mei Xing serta beregu campuran Hoo Pang Ron-Cheng Su Yi bagi Sukan SEA kali ini.
Kesemua pemain lelaki dan wanita terlibat juga disenaraikan dalam acara berpasukan dengan dibantu Eogene Ewe dan Aidil Sholeh Ali Sadikin bagi acara berpasukan lelaki manakala Siti Zulaikha Muhammad Azmi serta Eng Ler Qi dipilih menyertai acara berpasukan wanita.
Pada edisi 2023 di Phnom Penh, Kemboja, Malaysia yang menghantar skuad pelapis dihantui mimpi buruk apabila sekadar membawa pulang dua perak dan empat gangsa.- Bernama